PETALING JAYA: Kenyataan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth yang didakwa mengaitkan Islam sebagai musuh dilihat berisiko mencetuskan ketegangan serta menjejaskan usaha global ke arah saling menghormati dan persefahaman antara agama.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang kenyataan yang menggambarkan Islam sebagai musuh adalah berbahaya, tidak bertanggungjawab dan boleh mencetuskan ketegangan di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, Islam merupakan agama yang berteraskan rahmat, keadilan dan keamanan, selain tidak wajar dikaitkan secara umum dengan keganasan.
“Walaupun pengesahan terhadap kenyataan tersebut masih dijalankan, Pas menegaskan bahawa menggambarkan mana-mana agama, khususnya Islam yang dianuti lebih 1.9 bilion umat di seluruh dunia sebagai musuh adalah berbahaya dan tidak bertanggungjawab.
“Penggunaan naratif agama untuk mewajarkan konflik geopolitik, khususnya di Asia Barat, adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab, terdesak dan menjijikkan kerana ia menyemarakkan perpecahan serta mengancam harapan terhadap keamanan dan kestabilan yang berkekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular laporan yang mendakwa Hegseth menyatakan musuh Amerika Syarikat ialah Islam tanpa mengira aliran Sunni atau Syiah, namun kesahihan kenyataan tersebut masih dalam penelitian.
Dalam pada itu, Pas menggesa kerajaan Amerika Syarikat serta komuniti antarabangsa memastikan ketepatan maklumat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan awam yang boleh mencetuskan kekeliruan.
Takiyuddin berkata, perbezaan perlu dibuat antara tindakan ekstremisme dengan ajaran sebenar Islam atau mana-mana agama bagi mengelakkan prejudis terhadap penganutnya.
“Pendekatan diplomasi, dialog dan kerjasama adalah jalan terbaik bagi memastikan keamanan dan keharmonian sejagat terus terpelihara,” katanya.
Tambah beliau, Pas turut menegaskan bahawa sebarang usaha mempolitikkan agama atau menyemarakkan Islamofobia wajar ditolak oleh masyarakat antarabangsa.
“Pas akan terus memantau perkembangan isu ini dan menggesa semua pihak bertindak dengan hikmah, adil dan bertanggungjawab dalam menangani isu berkaitan agama dan keselamatan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










