Berbekalkan didikan dan semangat perjuangan yang diwarisi daripada arwah bapanya, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy meniti perjalanan politiknya daripada akar umbi sejak 2010, sebelum terus menggalas amanah sebagai wakil rakyat dengan fokus jelas membangunkan kawasan dan membela nasib rakyat.
“Saya bermula secara aktif dalam politik pada tahun 2010. Ketika itu saya memilih untuk aktif dalam UMNO kerana arwah ayah saya sendiri aktif dalam parti dan pernah memegang jawatan tertinggi dalam bahagian.
“Hasil dorongan, tunjuk ajar dan nasihat daripada beliau, saya memilih untuk ikut serta dalam perjuangan politik kerana percaya kalau kita tidak terlibat, kita tidak akan mampu membantu menggerakkan semangat belia untuk turun ke gelanggang ini,” katanya.
Katanya, walaupun dunia politik sering dilihat dengan pelbagai konotasi negatif, itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk menggunakan ruang politik bagi memajukan masyarakat.
Pendidikan jadi asas membina bangsa
Katanya, aspek pendidikan diberikan keutamaan kerana beliau percaya kemajuan sesuatu bangsa dan komuniti mesti bermula dengan pembinaan minda melalui ilmu.
“Saya percaya, kalau kita mahu memajukan sesuatu bangsa, kita kena mulakan dengan pendidikan. Pemikiran itu mesti dibina dari asas pendidikan. Sebab itu, dalam tempoh empat tahun ini, saya banyak memberi fokus kepada bantuan untuk sekolah, termasuk kemudahan serta keperluan pembelajaran abad ke-21,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 82 sekolah rendah dan menengah di Tawau termasuk kawasan Parlimen Kalabakan dengan sebahagian besar peruntukan Parlimen disalurkan bagi memperkasa sektor itu.
Pendidikan, katanya, bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah membantu seseorang berfikir dengan lebih kritis dan keluar daripada kepompong kemunduran.
Belia teroka ekonomi baharu
Beliau berkata, kekangan peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda menuntut pendekatan baharu termasuk pendedahan dan kemahiran dalam bidang penternakan, penanaman serta keusahawanan.

BIODATA
Andi Muhammad
Suryady Bandy
Jawatan terkini
Ahli Parlimen Kalabakan
Kerjaya politik
Pembantu Menteri, Kementerian Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah (2023 – 2025)
Ahli Dewan Undangan Negeri, N.71 Tanjung Batu, Sabah (2020 – 2025)
Pembantu Menteri, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (2020 – 2022)
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan (2019 – 2022)
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan (2018 – 2019)
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (2018 – 2022)
Ketua Pemuda UMNO
Katanya, usaha itu penting supaya golongan belia tidak hanya bergantung kepada pekerjaan formal, sebaliknya berani mencipta peluang.
“ Jadi kita fikir, kalau kita beri kemahiran seperti penternakan dan penanaman, ia boleh menjadi alternatif kepada mereka untuk menjana pendapatan. Belia perlu berfikir di luar kotak dan berani menceburi bidang perniagaan. Kerajaan pun ada menyediakan bantuan dan pinjaman, jadi terpulang kepada belia untuk merebut peluang yang ada,” katanya.
Pembangunan ikut realiti semasa
Dalam pembangunan kawasan, setiap perancangan perlu berasaskan keperluan rakyat dengan mengambil kira dinamika semasa serta faktor luar yang mempengaruhi potensi projek.
Beliau memberi contoh pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan, yang menurutnya perlu dilihat secara realistik berdasarkan perubahan dasar kerajaan Indonesia terhadap pembangunan Nusantara selepas pertukaran kepimpinan negara itu.
Katanya, jika sebelum ini pembangunan Nusantara dijangka menjadi pemangkin utama kepada limpahan ekonomi di kawasan sempadan, namun keadaan itu kini dilihat tidak lagi seperti diharapkan.
“Kita kena faham juga dinamika politik ini bukan hanya bergantung kepada faktor dalaman tetapi juga luaran. Dalam konteks CIQS, kita lihat perubahan dasar di Indonesia memberi kesan kepada perancangan yang kita buat di sini (Malaysia).
“Kalau dulu Nusantara dilihat akan diperkasakan sebagai bandar pentadbiran Indonesia, tetapi sekarang kurang diberikan tumpuan. Jadi kita juga kena berhati-hati supaya pembangunan yang dirancang tidak akhirnya menjadi ‘gajah putih’,” katanya.

Beliau berpandangan keutamaan ketika ini perlu diberikan kepada pembangunan yang benar-benar mendesak seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik.
Antara projek yang menjadi fokusnya dalam tempoh terdekat adalah pembinaan Jambatan menghubungkan Tanjung Batu Logpond ke Kampung Baru Pasir Putih yang disifatkan penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya ketika musim perayaan.
Menurutnya, laluan sedia ada ke Kampung Baru Pasir Putih kerap mengalami kesesakan teruk sehingga perjalanan yang mengambil masa kira-kira 30 minit boleh mencecah dua jam.
“Kita sangat berharap jambatan ini dapat dilaksanakan kerana ia bukan sahaja membantu melancarkan pergerakan penduduk, tetapi juga mengurangkan beban ramai pihak terutama ketika musim perayaan,” katanya.
Isu kewarganegaraan
Satu lagi isu besar, kata beliau yang memerlukan tindakan segera adalah masalah kewarganegaraan membabitkan penduduk yang lahir dan membesar di kawasan Tawau dan Kalabakan tetapi masih berdepan masalah dokumentasi
Daripada kira-kira 300,000 penduduk di Tawau-Kalabakan, dianggarkan sekitar 100,000 mempunyai masalah berkaitan dokumen pengenalan diri yang sah. Katanya, kebanyakan sebenarnya
berhak mendapat kewarganegaraan namun berdepan kekangan akibat masalah seperti ibu bapa yang tidak mendaftarkan perkahwinan atau kelahiran mengikut prosedur ditetapkan.
“Kita fokus kepada mereka yang lahir di sini, membesar di sini, tetapi ada masalah dokumentasi atas sebab-sebab tertentu. Ini isu yang kita mesti selesaikan.
“Kalau perkara ini dibiarkan, saya bimbang ia akan diwarisi pula kepada generasi seterusnya. Kita kena cari jalan penyelesaian sekarang,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian isu itu penting bukan sahaja daripada sudut kemanusiaan, malah bagi membolehkan mereka memperoleh peluang pekerjaan dan hidup lebih teratur sebagai rakyat Malaysia.
Pertahan amanah jika diberi peluang
Mengenai persediaannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau bersedia mempertahan amanah yang diberikan sekiranya terus diberi peluang oleh parti dan rakyat.
“Saya memang mahu mempertahankan amanah ini kerana tempoh lima tahun tidak cukup untuk melaksana semua pembangunan yang telah dirancang,” katanya.-UTUSAN










