Industri vape diminta daftar sehingga 30 April ini - MOF

Industri vape diminta daftar sehingga 30 April ini – MOF

vape
Negara berisiko kehilangan pendapatan RM3.48 bilion cukai runcit industri vape jika Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok turut menyenaraikan vape bahaya seperti rokok. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemain industri vape tempatan diberi tempoh sebulan bermula semalam hingga 30 April ini bagi mendaftar aktiviti pengilangan vape masing-masing kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, pendaftaran itu membabitkan pengilang tempatan yang mengeluarkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin.

Menurutnya, pendaftaran awal dalam tempoh yang ditetapkan ini boleh mengelakkan pengilang dikenakan kompaun atas kesalahan lewat berdaftar.

“Pendaftaran awal ini akan memastikan pematuhan industri yang menyeluruh serta pengutipan cukai berjalan lancar menjelang bulan Mei depan.

“Pendaftaran pelesenan di bawah Akta Eksais 1976 boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem MyExcise di pautan
https://myexcise.customs.gov.my/myexcise/,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu, kerajaan mengumumkan cadangan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Langkah itu membolehkan kerajaan mencukai industri vape yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion dan pada masa yang sama menyokong usaha untuk tidak menggalakkan penggunaan vape.

Berkuat kuasa 1 April 2023, melalui pewartaan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023, duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Dengan pelaksanaan duti eksais ini, kerajaan akan terus memastikan semua peraturan dan kawalan barangan berduti eksais oleh JKDM dapat dipertingkatkan untuk mengelakkan ketirisan hasil negara.

Malah, seperti yang dijanjikan dalam pengumuman Belanjawan 2023, separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada KKM sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya