Kenderaan perdagangan jangan guna lorong kanan - JPJ

Kenderaan perdagangan jangan guna lorong kanan – JPJ

AHMAD KAMARUNZAMAN MEHAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kenderaan perdagangan menggunakan lorong paling kanan secara berterusan bukan sahaja memperlahankan aliran trafik, malah meningkatkan risiko kemalangan akibat menghalang kenderaan lain bergerak dan memotong dengan selamat.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, kenderaan berat sepatutnya menggunakan lorong paling kiri, manakala lorong tengah hanya digunakan ketika memotong kenderaan lain.

Katanya, alasan pemandu kenderaan perdagangan menggunakan lorong kanan kerana mahu bergerak lebih laju tidak boleh diterima kerana pergerakan kenderaan berat sememangnya lebih perlahan berbanding kenderaan lain.

“Apabila kenderaan berat berada di lorong kanan, ia menyebabkan trafik menjadi perlahan dan kesesakan kerana pergerakannya lebih perlahan.

“Sepatutnya kenderaan berat berada di lorong paling kiri dan jika mahu memotong, gunakan lorong tengah,” katanya pada sidang akhbar Op Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah utara, di sini hari ini.

Penggunaan lorong kanan secara berterusan turut meningkatkan risiko brek mengejut dan pertukaran lorong secara berbahaya apabila kenderaan lain cuba memotong.

Katanya, JPJ Selangor menggunakan kenderaan tanpa logo dalam operasi berkenaan bagi mengesan kesalahan tersebut dengan lebih berkesan.

“Jika menggunakan kenderaan berlogo, mungkin pemandu tidak akan berada di lorong kanan secara berterusan. Dengan kenderaan tanpa logo, kita dapat mengesan kesalahan itu,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan seumpama itu akan dijalankan secara berterusan, tegas dan bersasar terhadap kenderaan perdagangan.

Setakat 31 Ogos lalu, sebanyak 18,726 daripada 427,938 kenderaan perdagangan di Selangor telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Ahmad Kamarunzaman berkata, semua pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan perlu mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan pengguna lain.

Orang ramai juga boleh menyalurkan aduan kesalahan lalu lintas membabitkan kenderaan perdagangan melalui aplikasi MyJPJ menerusi saluran e-Aduan@JPJ atau e-mel [[email protected]](mailto:[email protected]) dengan menyertakan maklumat lengkap bagi membolehkan tindakan diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×