ANALISIS
KETIKA ini tiada lagi akses untuk menghubungi kumpulan mendakwa sebagai Mogok Doktor Malaysia yang merancang melakukan protes tiga hari sejak 3 April lalu, supaya diserap ke jawatan tetap Kementerian Kesihatan dan menuntut kenaikan kadar elaun on-call RM9 sejam.
Dua hari selepas melancarkan mogok di seluruh negara, akaun Instagram yang menjadi satu-satunya saluran media menghubungi kumpulan itu dinyahaktif selain pautan Telegram kumpulan itu juga tidak boleh diakses sama sekali.
Timbul persoalan, benarkah gerakan itu wujud memperjuang isu kebajikan doktor kontrak yang sudah tujuh tahun tidak selesai, atau terdapat pihak tertentu berniat menangguk di air keruh?
Ada juga dakwaan Mogok Doktor Malaysia digerakkan pembangkang untuk ‘menyerang’ kerajaan menyedari isu itu mampu mengalih perhatian masyarakat daripada mendalami dasar-dasar yang ingin dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.
Pun begitu, dakwaan itu terlalu berat kerana tiada bukti kukuh mengaitkan kumpulan itu secara langsung dengan Perikatan Nasional (PN). Meskipun pembangkang menyokong tindakan tersebut, namun mereka menafikan penglibatan dalam mogok berkenaan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menyifatkan, rancangan mogok yang didakwa melibatkan 8,000 hingga 12,000 doktor kontrak gagal melumpuhkan perkhidmatan kesihatan negara. Sebaliknya, ia lebih bersifat ancaman dan provokatif serta mempunyai kepentingan tertentu sehingga sanggup mengambil kesempatan terhadap keselamatan dan nyawa rakyat.
Jika benar Mogok Doktor Malaysia adalah kumpulan sahih seperti Hartal Doktor Kontrak, mereka tidak sepatutnya menjadi pengecut dengan tidak mendedahkan identiti sebenar kepada awam. Menyahaktif akaun media sosial menguatkan lagi sangkaan yang mereka ini tidak sanggup dan berani berdepan realiti.
Tidak dinafikan, mereka bijak menarik perhatian media massa supaya liputannya lebih meluas. Pelaporan media yang menetapkan agenda dan membingkaikannya sebagai isu dan perdebatan awam, selain pengaruh media sosial yang merentas latar belakang dan umur telah mencapai matlamat kumpulan ini.
Oleh itu, apakah yang boleh dipelajari susulan mogok ini? Negara sepatutnya bersyukur kerana sistem penyampaian kesihatan masih berjalan tanpa sebarang masalah. Petugas kesihatan negara masih berpegang kepada lafaz sumpah jawatan dan atas dasar bertanggungjawabnya terhadap masyarakat.
Namun adakah kegagalan rancangan itu membolehkan kerajaan berasa lega dan bekerja seperti biasa? Tidak. Masalah melibatkan doktor kontrak tetap ada sekalipun tanpa kehadiran Mogok Doktor Malaysia.
Menerusi pembentangan Kertas Putih di Parlimen pada Jun ini, sebagai permulaan reformasi kesihatan negara, banyak pihak meletakkan harapan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kesihatan yang dilihat solusi terakhir menyelesaikan isu perjawatan itu.
Wujudnya kelompangan dalam dasar kerajaan akhirnya memberi kesan kepada seluruh rantaian terutama rakyat. Di sudut lain, di manakah ‘Dr. Jamal’ berada sekarang? – UTUSAN