ISTANBUL: Kumpulan aktivis antarabangsa yang dibebaskan oleh Israel mendedahkan diperlaku secara kasar dan dilayan seperti haiwan ketika ditahan tentera rejim itu selepas flotila bantuan mereka ke Gaza dipintas awal minggu ini.
Flotila Global Sumud (GSF) yang berlayar bulan lalu bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza disekat oleh tentera laut Israel, menyebabkan lebih 400 aktivis ditahan sebelum proses menghantar pulang bermula pada Jumaat.
Seramai 137 aktivis dari 13 negara, termasuk 36 warga Turkiye, tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada Sabtu.
“Banyak kapal tentera mengepung kami. Beberapa kapal kami turut diserang dengan meriam air. Semua bot ditawan oleh anggota bersenjata penuh dan dibawa ke darat.
“Mereka memaksa kami berlutut dengan muka menghadap tanah. Jika kami bergerak sedikit, kami dipukul. Mereka ketawa, menghina dan memukul kami. Mereka menggunakan kekerasan fizikal dan psikologi terhadap kami,” kata ahli majlis wilayah dari Lombardy, Itali, Paolo Romano.
Flotila yang terdiri daripada kira-kira 45 kapal itu turut membawa ahli politik dan aktivis terkenal termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg.
Romano berkata, tentera Israel memaksa mereka mengaku memasuki wilayah Israel secara haram namun menegaskan bahawa mereka berada di perairan antarabangsa, dan mempunyai hak untuk berada di sana.
Sebaik tiba di darat, para aktivis dibawa ke penjara dan dikurung tanpa dibenarkan keluar.
“Mereka tidak memberikan air minuman, malah pada waktu malam mereka membuka pintu sambil menjerit dan mengacukan senjata untuk menakutkan kami. Kami benar-benar dilayan seperti haiwan,” katanya.
Seorang aktivis dari Malaysia, Iylia Balqis, 28, turut menggambarkan pengalaman itu sebagai paling mengerikan dalam hidupnya.
“Kami digari dengan tangan di belakang, tidak dibenarkan berjalan, malah ada yang dipaksa berbaring meniarap di tanah. Kami dinafikan air, dan ada yang tidak diberikan ubat,” katanya.
Para aktivis tersebut diterbangkan ke Istanbul menggunakan pesawat khas Turkish Airlines yang disewa kerajaan Turkiye.
Dalam satu hantaran di platform X, Kementerian Luar Israel mengesahkan 137 lagi aktivis yang digelar pencetus provokasi flotila Hamas-Sumud dihantar ke Turkiye hari ini’.
Sementara itu, ahli keluarga aktivis Turkiye dilihat menunggu di balai VIP Lapangan Terbang Istanbul, mengibarkan bendera Turkiye dan Palestin sambil melaungkan slogan ‘Israel pembunuh’.
Peguam kepada aktivis terbabit berkata mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba dan dijadualkan memberi keterangan di mahkamah pada Ahad.
Kerajaan Turkiye mengecam tindakan Israel memintas flotila tersebut sebagai tindakan keganasan dan pada Khamis lalu mengumumkan telah membuka siasatan rasmi berhubung insiden berkenaan. -AGENSI










