TAIPING: Tiada persiapan menyambut hari raya buat, Zety Norazieda Ismail, 37, di Batu 6, Jalan Kuala Kangsar, Changkat Jering di sini kerana perlu memikirkan bagaimana untuk menyara keperluan lima anak yang kesemuanya mengalami masalah kesihatan.
Lebih menyedihkan, Zet Norazieda yang bekerja sebagai kelindan lori, menyara semua anaknya itu seorang diri kerana dalam proses penceraian.
Berikutan itu, dia dan anak-anaknya kini menumpang di rumah orang tuanya di Changkat Jering.
Anak sulungnya, Muhammad Badri Shafy Misran Lianto, 14, merupakan Orang Kurang Upaya (OKU); Nurul Syifa Iwani Jamadi, 9, menghidap autisme; anak ketiga, Nurul Sufi Imani, 7 (kanser otak tahap tiga) anak keempat,
Muhammad Syamsi Faroukqi, 6 (mengidap penyakit asma kronik) dan yang bongsu, Muhammad Syahmi Anaqi, 3, menghidap masalah mata.
“Anak ketiga yang menghidap kanser otak memerlukan minuman susu khas namun saya tidak mampu menyediakannya kerana susu khas yang diperlukan itu mahal.
“Sebelum ini pihak Baitulmal ada memberi bantuan susu khas selama enam bulan tetapi tempohnya sudah berakhir, jadi sekarang ni memang kena ikhtiar sendiri untuk menyediakannya” katanya di sini semalam.
Menurutnya, dia tidak tahu sama ada boleh memohon kembali untuk mendapatkan bantuan susu khas daripada pihak Baitulmal.
“Susu khas itu sememangnya amat diperlukan untuk anak saya termasuk juga lampin pakai buang. Untuk persiapan Aidilfitri tak lama lagi kami tidak membuat apa-apa persiapan termasuk baju raya,” katanya.
Menurutnya, kesemua anaknya mendapat bantuan wang bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM900 sebulan secara keseluruhannya dan digunakan untuk membeli barang keperluan harian sepenuhnya.
Katanya, bagi kos mendapatkan rawatan anak di hospital pula, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sebanyak RM200 sebagai tambang.
“Keperluan keutamaan untuk saya ialah untuk mendapatkan lesen memandu lori dan GDL, supaya saya dapat mencari rezeki untuk anak -anak,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd. Nasrul Menhat berkata, beliau akan cuba membantu keluarga itu dengan memanjangkan kepada pihak berkaitan.
“Kita akan cuba membantu terutama untuk mendapatkan semula bantuan susu khas daripada pihak Baitulmal dan bantuan persekolahan memastikan mereka tidak tercicir dalam pembelajaran,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh memberikan sumbangan melalui akaun Public Bank 6486 9868 29 Zety Norazieda Ismail.- utusan









