Herba dari China, AS tanpa permit import sah dirampas - Utusan Malaysia

Herba dari China, AS tanpa permit import sah dirampas

HASIL pertanian tanpa dokumen permit import dari China dan AS yang dirampas Maqis di pintu masuk LTAPP), Bayan Lepas pada Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk hasil pertanian tanpa dokumen permit import yang sah di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini pada Jumaat lalu.

Pengarah Maqis negeri, Muhammad Ikram Abd Talib Hashim berkata, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana barangan itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM.

”Siasatan mendapati keluaran pertanian tersebut tidak mempunyai permit import serta Sijil Fitosanitasi yang sah.

“Dagangan yang dibawa dari negara China, Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain negara ini merupakan jenis tanaman herba seperti ginseng, akar kayu dan pelbagai daun kering.

“Keseluruhan berat dagangan adalah sebanyak 50 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM 9,500,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, jelas beliau, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, Maqis akan sentiasa mempergiatkan kerjasama strategik di antara agensi penguatkuasaan di sempadan bagi menangani isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

”Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya