Henti jual murtabak, ibu tabah jaga anak hidap kanser testis

Henti jual martabak, ibu tabah jaga anak hidap kanser testis

ERMADIANA Apwa (kiri) bersama Muhammad Syahir Mohd. Shahrul yang menderita kanser testis tahap empat di rumahnya di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang peniaga, Ermadiana Apwa, 44, terpaksa melupakan perniagaan menjual martabak pada bulan Ramadan ini apabila perlu menjaga anaknya, Muhammad Syahir Mohd. Shahrul, 22, yang menderita kanser testis di Felda Kota Gelanggi Dua di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ermadiana berkata, anaknya dikesan menghidap kanser testis tahap empat dan ketika ini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur sejak awal bulan Mac lalu.

“Doktor memberitahu, kanser sudah menular ke paru-paru dan lanjutan itu pada bulan ini anak saya dijangka menjalani pembedahan membuang telur pada bahagian kemaluan yang dijangkiti kanser ini.

“Saya amat kasihan melihat penderitaan dia (anak) dan berkorban menjaganya sejak empat bulan lalu selepas dikesan panyakit ini dan terpaksa melupakan perniagaan antara punca utama rezeki sekeluarga,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam.

Mengulas tentang penyakit Muhammad Syahir, Ermadiana berkata, pada mulanya anaknya mengadu sakit pada bahagian perut ketika dia bersama rakannya menyertai aktiviti tabligh selama 40 hari ini pada penghujung bulan November tahun lalu.

“Saya membawanya ke klinik berdekatan dan doktor memberitahu kemungkinan dijangkiti batu karang. Dalam masa setahun, keadaan kesihatan terganggu dan mula serius sehingga tidak berselera makan.

“Sekali lagi, dia menjalani pemeriksaan doktor di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh baharulah mendapat keputusan tentang penyakit yang dihidapi sekarang, kemudian tinggal di wad selama lima hari untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, anaknya itu sudah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak tiga kali dan keadaannya masih tidak berubah.

“Saya dimaklumkan kos pembedahan juga agak tinggi. Sebelum ini, kami sudah berbelanja hampir RM6,000 untuk rawatan Muhammad Syahir termasuk berulangalik sebanyak 16 kali ke Hoshas dan HKL bagi tujuan rawatan serta kimoterapi,” katanya.

Jelasnya, ketika ini, dia sudah tidak mampu membiayai perbelanjaan anaknya kerana hampir empat bulan tidak berniaga, manakala suaminya cuma bekerja sendiri hanya mampu untuk keperluan dapur dan bil.

“Anak saya cuma minum susu khas dan menggunakan lampin yang memakan belanja bulanan kira-kira RM800, bertambah lagi beban kewangan kerana saya tanpa pendapatan.

“Saya merayu pihak berwajib dan para dermawan supaya dapat membantu meringankan beban kewangan kami. Saya menjangkakan banyak memerlukan wang untuk pembedahan testis anak serta menjaganya di wad nanti,” katanya.

Orang ramai dan para dermawan yang ingin membantu Muhammad Syahir boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun RHB Bank, Ermadiana Apwa bernombor 10604900248437 atau boleh menghubunginya di talian 01161062316. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN