Perang: Iran tarik diri daripada DSA 2026

Perang: Iran tarik diri daripada DSA 2026

MOHAMED Khaled Nordin melihat persiapan Pameran DSA 2026 dan NATSEC Asia 2026 yang akan berlangsung di MITEC Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga 23 April. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Iran menarik diri daripada menyertai Pame­ran Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) 2026 yang akan bermula hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara yang sedang berperang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu te­lah menyatakan hasrat penarikan diri itu.

“Penarikan diri negara itu kemungkinan disebabkan pelbagai cabaran dihadapi terutamanya membabitkan logistik termasuk kesukaran pergerakan dan penghantaran produk susulan konflik perang di negara itu,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan akhir pame­ran itu di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 368 buah syarikat tempatan terlibat mempamerkan produk dan keupayaan masing-masing kali ini terma­suk pada segmen baharu iaitu Gabungan Industri Pertahanan Tempatan Malaysia.

Katanya, penyertaan syarikat tempatan dalam DSA dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 adalah sejajar dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

Menurutnya, dasar itu me­nyasarkan sebanyak 30 peratus penggunaan komponen tempatan bagi perolehan aset pertahanan negara.

“DSA turut menjadi pemang­kin kepada pelaksanaan DIPN melalui penglibatan lebih aktif syarikat tempatan dalam rantai­an bekalan global.

“Dalam setiap perolehan yang kita laksanakan, kita pastikan syarikat yang membekalkan peralatan memainkan peranan untuk memba­ngunkan industri tempatan. Maknanya apa yang kita tetapkan sebagai dasar 30 peratus mesti komponen tempatan dan ia dapat dicapai.

“Kita lihat banyak syarikat-syarikat tempatan yang telah pun ke hadapan untuk tunjukkan produk-produk mereka yang sesuai, yang boleh diambil kira, dipertimbangkan untuk syarikat OEM memenuhi syarat yang dikenakan oleh kerajaan,” katanya.

Mohamed Khaled dalam pada itu berkata, Kementerian Pertahanan juga bakal menyam­paikan dokumen Program Kolaborasi Industri (ICP) yang dianggarkan bernilai RM1.4 bili­on kepada beberapa syarikat yang berjaya bagi tujuan pemindahan teknologi kepakaran se­perti penyelenggaraan.

Jelasnya, ICP turut meningkatkan keupayaan penyelenggaraan serta pembangunan komponen aset pertahanan.

“ICP ini sangat penting kepada negara kerana melaluinya kita akan dapat meningkatkan keupayaan negara sama ada dalam soal penyelenggaraan ataupun dalam soal untuk membina komponen-komponen bagi mana-mana aset, ataupun pada akhirnya kita dapat mengeluarkan aset-aset yang memang diperlukan untuk negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×