KPT sudah terima laporan isu teater

KPT sudah terima laporan isu teater

ZAMBRY Abdul Kadir ditemui selepas sesi walkabout Program Jom Masuk Universiti 2026 Zon Sabah II di Kompleks Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah, semalam. - UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menerima laporan rasmi berhubung persembahan teater dalam satu pertandingan seni di Universiti Malaya (UM) yang didakwa berunsur tidak senonoh sehingga tular di media sosial, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, berdasarkan laporan itu, pihak UM mengakui terdapat beberapa aspek sensitiviti dalam persembahan berkenaan yang perlu diperbaiki.

Beliau berkata, kementerian turut mengambil maklum persoalan yang dibangkitkan orang awam mengenai kewujudan garis panduan dalam mengendalikan persembahan teater di institusi pengajian tinggi.

“Pada umumnya, UM menyedari terdapat beberapa perkara sensitif yang perlu diperbaiki. Ada pihak mempersoalkan sama ada ini tindakan reaktif atau ketiadaan garis panduan.

“Saya ingin jelaskan bahawa setiap universiti mempunyai garis panduan masing-masing. Namun, dalam program melibatkan kreativiti, kadangkala ia dilihat dari perspektif berbeza,” katanya ketika ditemui selepas sesi walkabout Program Jom Masuk Universiti 2026 Zon Sabah II di Kompleks Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini semalam.

Zambry berkata, langkah pembetulan perlu diambil bagi mengelakkan timbulnya sensitiviti dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Ia bukan hanya melibatkan satu kaum atau agama, tetapi turut menyentuh tatasusila masyarakat Malaysia secara keseluruhan. UM juga telah memaklumkan mereka mengambil langkah untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.

Zambry dalam pada itu turut menasihatkan fakulti seni dan kreativiti di semua universiti supaya lebih peka terhadap elemen sensitif dalam penghasilan karya.

“Kita tidak mahu sampai ke tahap mengambil tindakan seperti menutup fakulti berkaitan. Itu bukan langkah proaktif sebaliknya bersifat reaktif sehingga dianggap sebagai isu besar.

“Sebaliknya, kita perlu memperbetulkan keadaan dengan berpandukan garis panduan sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN