PETALING JAYA: Sekretariat Hartal Doktor Kontrak akan meneliti isi kandungan Kertas Putih Kesihatan yang dibangunkan Kementerian Kesihatan terlebih dahulu sebelum mengemukakan sebarang tuntutan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakapnya yang enggan dikenali berkata, ini kerana dokumen membabitkan dasar asas baharu kepada sektor perkhidmatan kesihatan negara itu masih lagi menjadi tanda tanya semua pihak.
“Menteri Kesihatan (Dr. Zaliha Mustafa) ada maklumkan yang akan ada roadshow oleh Kementerian Kesihatan untuk menerangkan mengenai Kertas Putih tersebut.
“Jadi kita akan tengok apa isi kandungan Kertas Putih sebelum membuat sebarang tuntutan…sebab sekarang kita dan juga rakyat langsung tiada maklumat mengenai kertas tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Dr. Zaliha memberi jaminan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan diperincikan apabila Kertas Putih Kesihatan dibentang dan diluluskan Parlimen.
Ia sebagai maklum balas kepada tiga tuntutan dikemukakan Sekretariat Doktor Hartal Kontrak melalui memorandum yang diserahkan sendiri kepada beliau, Selasa lalu.
Dua lagi tuntutan melibatkan permintaan sekretariat itu untuk menganggotai Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) bagi membincangkan krisis dan isu-isu melibatkan kepentingan doktor kontrak.
Selain itu, sekretariat itu turut menuntut pihak kementerian dan kerajaan melihat permasalahan pegawai dan staf perubatan kontrak bagi skim-skim lain dalam perkhidmatan kesihatan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan pada 10 Januari lalu dilapor berkata, kementeriannya menyasarkan pembentangan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen pada pertengahan tahun ini.
Setakat Februari lepas, dokumen berkenaan kini dilaporkan dalam proses akhir untuk disiapkan. – UTUSAN










