KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ziana Zain, menegaskan beliau sama sekali tidak pernah mengejar gelaran Datuk meskipun desas-desus mengenai penganugerahan pingat darjah kebesaran tersebut sudah bertahun-tahun diperkatakan.
Ziana atau Siti Roziana Zain, 58, berkata, dia menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada rezeki dan ketentuan Allah SWT tanpa perlu memikirkannya secara berlebihan.
Menurutnya, tumpuan utamanya sepanjang berkecimpung dalam industri seni adalah untuk terus konsisten menghiburkan peminat dan bukannya memburu sebarang pengiktirafan atau darjah kebesaran.
“Saya tidak tahu nak kata apa sebab perkara ini sudah bertahun berlegar. Doakan sahaja yang terbaik dan jika itu rezeki saya, maka itulah rezekinya.
“Perkara paling penting ialah sebagai seorang penyanyi, saya masih berada di sini. Ini adalah perkara yang sangat penting bagi diri saya,” katanya.
Ziana berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Muzik Lab: Hab Kreatif AJL40 di McDonald’s Pandu Lalu Pantai Sentral, Pantai Dalam, hari ini.
Ziana berkata, sepanjang tempoh pembabitannya dalam dunia seni, dia juga tidak pernah berharap untuk menerima sebarang tawaran rasmi berhubung pengurniaan gelaran sedemikian.
“Saya tidak mengejar gelaran dan dalam hidup ini saya memang tidak mengharapkannya. Anda perlu mempunyai kelas tersendiri dengan membiarkan perkara itu datang kepada anda, bukannya anda yang mengejar,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Muzik Lab, anjuran McDonald’s Malaysia bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) merupakan inisiatif yang memberi peluang kepada orang ramai menerokai industri muzik menerusi perkongsian dan persembahan bersama penggiat seni.
Melalui pengenalan Muzik Lab, AJL40 melengkapkan sambutan empat dekad penganjurannya dengan menawarkan dimensi baharu kepada peminat untuk bukan sahaja menikmati muzik, malah memahami perjalanan di sebalik setiap karya serta menghargai individu yang menjadi nadi di sebalik karya-karya yang terus mewarnai industri muzik tanah air.








