Harga tetap RM1, martabak Pak Ali jadi tarikan

Harga tetap RM1, martabak Pak Ali jadi tarikan

MOHD. Ghazali Hussin menunjukkan murtabak ekonomi yang dijualnya dengan harga RM1 di bazar Ramadan Kelang Lama di Kulim, Kedah. - FOTO/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Harganya tetap RM1. Itulah daya tarikan Murtabak Ekonomi Pak Ali yang dijual di bazar Ramadan Kelang Lama di sini, sejak lebih 17 tahun lalu.

Setiap tahun, orang ramai terutama pelanggan tetapnya akan menanti murtabak disediakan Mohd. Ghazali Hussin, 53, yang mesra disapa Pak Ali kerana harga jualan itu dianggap amat membantu mereka ketika kebanyakan harga barangan lain semakin naik.

Katanya, sepanjang bulan Ramadan, perniagaannya akan tertumpu di bazar tersebut, manakala pada hari biasa kembali dijual berhampiran Arked Mara Kulim Mall termasuk menjual roti canai pada harga RM1.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun sejak beberapa tahun lalu kita berdepan dengan pelbagai isu antaranya cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP) dan kenaikan harga barangan, harga kami masih lagi tetap RM1.

“Memang saya akui harga barangan kini sudah meningkat, namun bagi saya itu tidak menjadi masalah kerana selain berniat mencari sumber rezeki, dapatlah kami beramal kepada orang ramai melalui harga murtabak yang tidak membebankan pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Menurut Mohd. Ghazali, meskipun tidak dapat lari dari kenaikan harga bahan mentah, kualiti dan kuantiti bahan untuk murtabaknya tetap dikekalkan tanpa mengurangkan sedikit pun bahan dan saiznya.

Jelasnya, sehari dia memerlukan kira-kira 30 kilogram tepung, 2,500 biji telur ayam, 16 guni bawang serta masing-masing tiga ekor ayam dan tiga kilogram daging.

“Gerai saya mula dibuka pukul 3 petang sambil dibantu oleh enam pekerja. Alhamdulillah setiap hari saya dapat menjual kira-kira 2,500 keping murtabak ayam dan daging di bazar Ramadan ini,” katanya.

Menurutnya, dia lega kerana sehingga kini masih menerima maklum balas memuaskan daripada pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×