Hanya agihan kerusi PN di Negeri Sembilan, Selangor belum selesai

Hanya agihan kerusi PN di Negeri Sembilan, Selangor belum selesai

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyampaikan replika cek kepada atlet sukan tenpin, Mohd. Khairul Ishak pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Para Sukma XX di Kompleks Belia dan Sukan di Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Rundingan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan parti dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka selesai, Ahad ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, hanya kerusi parti gabungan itu di Negeri Sembilan dan Selangor belum dapat dimuktamadkan setakat ini.

“Ada sedikit lagi (belum selesai) di Negeri Sembilan dua tiga kerusi, Selangor dua tiga kerusi. (Pembahagian kerusi) Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu selesai.

“Kita bagi masa seminggu kepada kepimpinan PN negeri itu sehingga Ahad ini dan akan jumpa balik. Bukan pasal apa sebab hang nak (kerusi), aku pun nak jadi kita rundinglah. Itu sebab rundingan tak selesai kita jumpa mereka dan suruh runding lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Para Sukma XX di Kompleks Belia dan Sukan, di sini.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bahawa perbincangan agihan kerusi DUN dalam kalangan parti dalam PN sudah mencapai 80 peratus yang dibuat secara muafakat.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menafikan kelewatan rundingan kerusi di kedua-dua negeri itu disebabkan ura-ura penyertaan bekas pemimpin daripada parti lawan sebelum ini.

“(Faktor) lambat bukan sebab pemimpin UMNO nak sertai (PN), bukan runding calon, runding kerusi sahaja. Bukan kerusi panas sangat, biasa sahaja. Ahad selesai semua,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Kedah itu menegaskan pihaknya tidak berkecil hati walaupun tidak mendapat jemputan untuk ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Petani, hari ini.

Kata beliau, majlis tersebut juga bukan melibatkan program rasmi pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Tak ada jemputan saya pun tak tau apa (mengenai program berbuka ini). Depa tak jemput saya tak pergi.

“Itu benda kecil, buka puasa sahaja tak jemput tak apa. Bukan program rasmi kerajaan walaupun berbuka puasa. Kalau program untuk pentadbiran kerajaan itu betullah kena panggil saya. Tak ada berkecil hatilah,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, beliau turut mempunyai program berbuka lain yang harus dihadirinya pada masa yang sama.

Anwar akan menghadiri beberapa program di Pulau Pinang sebelum berkunjung ke Kedah untuk Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Dalam Negeri di Sungai Petani. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya