KOTA TINGGI: Hasrat seorang peneroka mahu menjual air tebu buat kali terakhir pada Ramadan ini tidak kesampaian apabila lima jari kirinya hancur tersepit dalam mesin memproses tebu.
Kejadian pada 2 Ramadan itu menyebabkan mangsa, Bachok Saain, 74, yang tinggal di Felda Lok Heng Timur di sini kehilangan lima jarinya.
Anak mangsa, Maryam, 47, berkata, ayahnya sudah setahun lebih tidak berniaga air tebu, namun memaklumkan mahu menjual semula kali ini untuk kali terakhir sebelum berhenti sepenuhnya.
“Ayah menjual air tebu di kawasan kampung ini, air tebu ayah memang sudah tidak asing dalam kalangan penduduk bahkan dengan menjual air tebulah ayah membesarkan kami.
“Ayah sempatlah berjualan pada 1 Ramadan sebelum kemalangan itu berlaku pada keesokan harinya. Kelima-lima jarinya tersepit dan hancur dalam mesin tebu itu.
“Akibatnya semua jari terpaksa dipotong kerana cedera parah dan ditahan di hospital. Selepas kejadian itu kesihatannya merosot, jalannya juga sudah tidak kuat, tidak boleh berdiri lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ekoran keadaan ayahnya itu, kata Maryam, kini proses membuat air tebu dan menjual disambung oleh adik bongsunya yang menetap bersama-sama orang tua.
Malah, menurut Maryam, ayah dan ibunya telah menanam lebih 1,000 pokok tebu di sekitar kawasan rumah hanya untuk persiapan jualan pada bulan Ramadan ini.
Semalam Bachok menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh sempena Program Ziarah Kasih Ramadan di sekitar Gugusan Lok Heng bersama kepimpinan kampung dan Felda.
Norlizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri melawat sebanyak 15 buah rumah di Felda Lok Heng Selatan, Felda Lok Heng Barat dan Felda Lok Heng Timur untuk beramah mesra dengan penduduk yang kurang bernasib baik sambil menyampaikan sumbangan. – UTUSAN











