Guan Eng dapat laporan forensik WhatsApp Zarul, Gnanaraja

Guan Eng dapat laporan forensik perbualan WhatsApp Zarul Ahmad, Gnanaraja

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan permohonan laporan forensik kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berjaya mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp di antara dua ahli perniagaan berhubung isu wang RM2 juta yang ditimbulkan dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azura Alwi ketika memutuskan demikian mengarahkan pihak pendakwaaan menyerahkan laporan forensik itu kepada pihak pembelaan dalam tempoh dua minggu dan menetapkan kes disebut pada 10 Mei ini.

Laporan forensik itu mengandungi perbualan WhatsApp di antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja yang didedahkan melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Ketika membacakan keputusan itu, Azura berpuas hati wujud dua versi keterangan berbeza di Mahkamah Shah Alam dan di ibu negara berkenaan tujuan penyerahan wang RM2 juta dan kepada siapa ia diserahkan melibatkan baucar pembayaran dan cek.

Menurut Azura, nota prosiding dan pernyataan bertulis saksi-saksi dalam kes di Shah Alam yang dikemukakan sebagai eksibit dalam kes di sini menunjukkan wang RM2 juta dikeluarkan melalui baucar pembayaran dan cek Public Bank dan dikatakan diserahkan kepada Gnanaraja.

Ujar hakim itu, dalam kes di ibu negara, keterangan juga menunjukkan baucar pembayaran dan cek yang sama dikemukakan dan telah ditandakan sebagai eksibit P140 dan P141 namun wang RM2 juta itu dikatakan diserahkan kepada Guan Eng.

Azura menjelaskan, keterangan juga menunjukkan terdapat perbincangan berkenaan wang tersebut melalui perbualan WhatsApp antara Zarul Ahmad dan Ganarajah manakala laporan analisis digital forensik kemudian disediakan oleh pihak SPRM.

Ujarnya, dalam kes Guan Eng di ibu negara, laporan analisis digital forensik telah dikemukakan namun laporan itu tidak dikemukakan di Shah Alam.

“Terdapat dua versi keterangan berbeza di dua mahkamah mengenai tujuan penyerahan dan kepada siapa diserahkan wang RM2 juta yang melibatkan baucar pembayaran dan cek,” ujar beliau.

“Mahkamah berpuas hati fakta yang menyeluruh haruslah dibentangkan dan dikemukakan agar kebenaran dapat diketahui,” ujarnya.

Ujar Azura lagi, pemohon perlu mendapat laporan analisis digital forensik dan laporan pengadu dalam kes di Shah Alam bagi menyediakan pembelaan yang adil.

Beliau selanjutnya menyatakan, mahkamah akur dan mengambil maklum tentang hak asasi pemohon sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu bersetuju bahawa prinsip kesamarataan dalam perbicaraan yang adil dapat dicapai dengan membenarkan permohonan yang dikemukakan mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam keputusannya, Azura membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu selepas meneliti notis permohonan, afidavit dan hujahan bertulis dan hujahan lisan serta otoriti-otoriti yang telah dikemukakan.

Azura berpuas hati, pemohon perlu melepasi tahap ujian yang menjadi asas kepada prinsip undang-undang mantap yang telah diputuskan oleh Mahkamah Agung pada 1985.

Pada 23 Mac lalu, Azura mendengar penghujahan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib serta peguam Gobind Singh Deo dalam permohonan tersebut.

Pihak pendakwaan membantah permohonan itu atas alasan ia tiada kaitan dengan perbicaraan rasuah yang sedang dihadapi oleh Guan Eng, laporan forensik itu tidak pernah dikemukakan sebagai keterangan di Mahkamah Shah Alam selain telah dikategorikan sebagai dokumen rahsia.

Bagaimanapun, pihak pembelaan menghujahkan agar permohonan itu dibenarkan bagi membuktikan Guan Eng tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Pihak pembelaan menyatakan ‘Coklat RM2 juta’ yang dirujuk dalam perbualan itu, bukan untuk Guan Eng, 63, sebaliknya untuk ‘Big Boss’ yang dirujuk sebagai ‘Perdana Menteri’ ketika itu.

Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya