PETALING JAYA: Profesion kewartawanan merupakan antara tunjang penting dalam memastikan rakyat menerima maklumat tepat, sahih dan seimbang khususnya dalam landskap media yang semakin mencabar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengamal media kini berdepan cabaran besar termasuk penyebaran berita palsu, fitnah serta budaya sensasi yang boleh menjejaskan kredibiliti industri kewartawanan.
Katanya, warga media perlu terus berpegang teguh kepada prinsip kewartawanan berasaskan fakta, integriti dan tanggungjawab dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Dalam landskap media yang semakin mencabar dan pantas berubah, peranan wartawan bukan sekadar menyampaikan berita, malah menjadi jambatan penting antara rakyat dan kerajaan.
“Dalam era digital hari ini, cabaran penyebaran maklumat palsu, fitnah dan budaya sensasi memerlukan warga media terus berpegang teguh kepada prinsip kewartawanan yang berasaskan fakta, integriti dan kebertanggungjawaban,” katanya sempena Hari Wartawan Malaysia (Hawana) hari ini.
Fadillah berkata, penghargaan juga diberikan kepada wartawan yang sentiasa komited menjalankan tugas di lapangan termasuk ketika berdepan situasi bencana, krisis dan pelbagai cabaran.
Katanya, kerajaan juga mengiktiraf peranan penting institusi media dalam proses pembangunan negara, penyampaian dasar serta agenda pembangunan kepada rakyat secara lebih berkesan.
“Dedikasi rakan-rakan wartawan semua amat besar maknanya dalam memperkukuh demokrasi serta membina masyarakat yang berilmu dan berinformasi.
“Media yang bebas, bertanggungjawab dan beretika merupakan rakan strategik negara dalam memastikan kestabilan, keharmonian serta kemajuan Malaysia terus dipelihara,” katanya.
Beliau turut berharap industri media negara dapat terus menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan kemajuan digital tanpa mengetepikan nilai profesionalisme serta etika kewartawanan.
“Selamat Menyambut Hari Wartawan Nasional 2026 kepada semua pengamal media di seluruh negara. Teruslah cekal, berintegriti dan berdedikasi dalam melaksanakan amanah demi agama, bangsa dan negara.
“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan anda semua,” katanya. – UTUSAN










