KOTA BHARU: Kesukaran memperoleh bekalan telur di pasaran ketika ini ternyata memberikan kesan apabila kuih akok yang dihasilkan kurang gebu atau ‘berkedut’.
Situasi itu membuatkan peniaga akok di negeri ini berdepan dilema selain terpaksa mengurangkan pengeluaran meskipun mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar kuih tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengusaha akok dari Kampung Kubang Golok, Bachok di sini, Ibrahim Yunus, 55, mengakui isu bekalan telur membuatkan kuih yang dihasilkannya itu kurang berkedut.
“Kebiasaannya saya menggunakan 400 biji telur sehari, namun sejak masalah (telur) berlarutan ia terpaksa dikurangkan kepada 200 biji sehari.

“Sudahlah terpaksa kurangkan, nak dapat telur cukup susah sehingga saya kena keluar masuk kedai runcit untuk mendapatkan bahan mentah itu,” katanya ketika ditemui semalam.
Ibrahim memberitahu, merumitkan lagi keadaan peningkatan harga bahan mentah membuatkan dia berada dalam dilema untuk menjual kuih berkenaan sepanjang Ramadan kali ini.
Sementara itu di Tumpat, seorang peniaga akok Fazilatul Aisya Zulkifli, 30, berkata, penjualan kuih tersebut digerainya terjejas ekoran masalah kekurangan bekalan telur.
Katanya, sepanjang Ramadan ini dia perlukan 600 biji telur sehari namun bekalan yang diperolehi hanya 300 biji sahaja.
“Akok yang berkedut adalah menggunakan telur gred A, kalau guna telur gred B terpaksa lebihkan telur dalam adunan dan apabila dibakar ia menjadi kurang cantik,” katanya.
Bagi Mohd. Izwan Ariffin, 39, pula mendedahkan dia terpaksa menaikkan harga akok 10 sen sebiji bagi menampung kos bahan mentah yang meningkat.
“Tahun lepas akok dijual dengan harga 60 sen sebiji tetapi tahun ini disebabkan telur dan tepung gandum naik harga, saya terpaksa menaikkan harga akoknya kepada 70 sen sebiji.
“Untuk lima biji akok saya jual dengan harga RM3.50 sebekas,” katanya. – UTUSAN










