PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim memaklumkan menerima banyak maklum balas daripada penggiat industri berhubung dakwaan dana RM20 juta diseleweng segelintir pihak.
Namun, selepas didesak memberikan bukti, pengadu enggan memberikan kerjasama sehingga menyukarkan pihak Finas mengambil tindakan lanjut.
“Saya ada mendengar desas-desus daripada pengadu yang mendakwa ‘kawan-kawan’ mereka sendiri guna dana untuk beli kereta, bayar hutang dan tujuan lain.
“Tetapi bila kita minta bukti, mereka tak berani berikan apa-apa. Dalam hal ini, sukar bagi Finas ambil tindakan selagi tiada bukti kukuh yang mendakwa perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan dana filem RM20 juta yang diberikan kepada syarikat produksi didakwa diseleweng untuk kepentingan peribadi termasuk membeli rumah dan percutian mewah.
Pendedahan itu susulan 47 individu dan syarikat produksi dikenalpasti menerima dana tersebut tetapi tidak menerbitkan filem dan telah disaman. – UTUSAN











