ROMPIN: Kesan perang Asia-Barat melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel sangat dirasakan pengusaha pelancongan di Pulau Tioman di sini, apabila sektor berkenaan mengalami kemerosotan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pengusaha chalet Kampung Salang, Abd. Hadi Othman berkata, pendapatan mereka 100 peratus bergantung kepada kehadiran pelancong, namun sejak Ramadan lalu, jumlah pengunjung boleh dikatakan hampir tiada.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pengusaha chalet dan resort di pulau peranginan berkenaan berdepan kesukaran untuk menampung kos operasi harian.
“Perang dan konflik yang ketika ini berlaku di Asia-Barat memberikan kesan psikologi kepada pelancong luar negara yang bimbang terhadap keselamatan dan kestabilan rantau ini. Pelancong tempatan juga mula mengehadkan aktiviti pelancongan kerana khuatir keadaan ekonomi akan bertambah buruk.
“Ramai yang memilih untuk berjimat, tidak melancong ke pulau kerana kos perjalanan dan penginapan dianggap membebankan dalam keadaan sekarang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Abd. Hadi berkata, pengusaha chalet dan resort kini terpaksa bergantung kepada simpanan masing-masing untuk menampung kos penyelenggaraan dan gaji pekerja.
“Kalau keadaan ini berlarutan, tidak mustahil ada pengusaha terpaksa tutup operasi kerana tidak mampu lagi menanggung kerugian,” katanya.
Dia berharap pihak berkuasa dapat mencari jalan untuk membantu pengusaha pelancongan di Pulau Tioman agar sektor tersebut tidak terus lumpuh akibat kesan perang dan ketidaktentuan ekonomi.
“Kita juga berharap agar konflik Asia-Barat tidak berpanjangan dan sektor pelancongan di Pulau Tioman dapat kembali pulih seperti biasa demi kelangsungan ekonomi penduduk,” katanya.
Difahamkan, terdapat lebih 50 pengusaha chalet dan resort yang beroperasi di Pulau Tioman merangkumi kawasan popular seperti Kampung Tekek, Air Batang (ABC), Salang, Juara dan Genting. – UTUSAN










