JOHOR BAHRU: Seorang buruh kasar yang berusia 46 tahun menyuarakan kebimbangan setelah hampir berputus asa untuk mendapatkan taraf warganegara selepas dilahirkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Muhamad Sofi Abdullah berkata, ketiadaan taraf kewarganegaraan juga telah menyebabkan dirinya tidak bersekolah sejak kecil selain turut berdepan pelbagai kesukaran dalam kehidupan hariannya.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, dia telah kehabisan wang ringgit apabila perlu berulang alik ke beberapa cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk di Batu Pahat, Johor Bahru dan Pasir Gudang untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.
“Saya difahamkan lahir di Kuala Lumpur sebelum ibu kandung yang dipercayai bukan warganegara menyerahkan saya kepada keluarga angkat. Mereka juga tiada maklumat berkaitan ibu bapa kandung saya.
“Berdasarkan maklumat di sijil lahir, ibu saya bernama Poniah Poniroh, namun butiran lain termasuk maklumat bapa kandung tidak dinyatakan. Itu sahaja dokumen yang saya ada, ia digunakan ketika saya bernikah dengan isteri, Napishah Ahmad, 58, setahun lalu,” katanya kepada pemberita.
Tambah Muhamad Sofi, ketiadaan taraf kewarganegaraan bukan sahaja menghalangnya untuk ke luar negara, tetapi turut menyukarkan dirinya untuk membuka akaun bank, memiliki lesen memandu serta mendapatkan pekerjaan.
“Ibu bapa angkat saya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu, mereka juga tidak pernah uruskan taraf kewarganegaraan saya semasa kecil dahulu. Saudara yang saya ada hanyalah seorang kakak angkat yang tinggal di Batu Pahat.
“Sekarang saya dan isteri tinggal di sebuah pondok dan mengusahakan kebun milik kenalan kami di Taman Cendana, di sini dengan pendapatan tidak menentu.
“Isteri saya yang berasal dari Kedah dan sudah tinggal di Johor sejak lebih 15 tahun juga tidak mampu untuk bekerja seperti orang lain atas faktor kesihatan. Sehingga kini kami juga tidak pernah memohon bantuan rumah atau apa-apa.
“Memang kehidupan di pondok ini serba kekurangan namun kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya masih ada pihak yang prihatin dengan nasib kami ini,” katanya lanjut. – UTUSAN










