Dului tukang cuci, kini usahawan snek jejari ketam

Dulu tukang cuci, kini usahawan snek jejari ketam

PENGERUSI MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir (dua dari kiri) menyerahkan replika pembungkusan kepada usahawan snek jejari ketam, Norlaila Shafiei pada Majlis Penyerahan Pembungkusan Produk Usahawan B40 dan Asnaf dan Majlis Berbuka Puasa di Seremban, semalam. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bermula dengan hanya bermodalkan RM100, seorang bekas tukang cuci yang juga asnaf kini menjadi seorang usahawan malah snek jejari ketam yang diusahakannya semakin mendapat permintaan ramai.

Ibu tunggal, Norlaila Shafiei , 53, berkata, dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada kerjanya sebelum ini kerana mengalami kemalangan dan menghidap penyakit asma dan darah tinggi.

“Pada tahun 2018, saya mengambil peluang menceburi bidang perniagaan snek jejari ketam dengan menjual snek tersebut di tempat kerja lama dan kawan-kawan terdekat. Sehinggalah saya menerima tempahan dan mula serius dalam bidang ini.

“Pada waktu itu, saya rasakan snek jejari ketam ini agak mudah untuk disediakan dan mencari resipi melalui internet sahaja. Alhamdulillah berkat berniaga, saya mula menjadi usahawan dan snek jejari ketam diusahakan juga sudah mula menembusi stesen minyak tempatan di sekitar Seremban,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Penyerahan Pembungkusan Produk Usahawan B40 dan Asnaf dan Majlis Berbuka Puasa anjuran SIRIM Berhad dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini.

Norlaila yang tinggal di Taman Gadong Jaya dekat sini memberitahu, menerusi perniagaan yang dijalankan itu, telah banyak membantunya dalam membesarkan tujuh orang anak selepas berpisah dengan bekas suami pada tahun 2015.

“Sewaktu saya mula menjalankan perniagaan saya hanya fikir tentang perbelanjaan untuk membesarkan anak-anak. Pada ketika itu, kebanyakan mereka masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi.

“Kini, Alhamdulillah, anak-anak turut membantu menguruskan perniagaan dan saya juga sudah mampu mengupah pembantu,” katanya yang turut menjual roti john di bazar Ramadan bagi menambah pendapatan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, pihaknya telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memperuntukkan sejumlah RM200,000 sebagai bantuan kepada 10 orang usahawan di Negeri Sembilan dan 10 orang lagi usahawan dari Melaka yang masing-masing merupakan golongan asnaf dan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Bantuan yang diberikan kepada 20 orang usahawan terlibat adalah melibatkan latihan dan khidmat rundingan perniagaan melalui Pusat Reka Bentuk Pembungkusan dan Percetakan Keselamatan SIRIM (PSDC) dan SIRIM STS Sdn. Bhd.

“Khidmat rundingan perniagaan juga disediakan iaitu melalui pembangunan jenama, pelabelan, kandungan nutrisi, bahan promosi dan kursus asas pemasaran digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN