Duke lebuh raya ke-12 tawar sistem bayar terbuka, laksana MLFF - Utusan Malaysia

Duke lebuh raya ke-12 tawar sistem bayar terbuka, laksana MLFF

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) menjadi syarikat konsesi lebuh raya terbaru yang bakal mengambil bahagian dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka di plaza tol kendaliannya.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan lebuh raya yang bakal terlibat dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka kepada 12 dengan sistem itu dijangka bermula pada September ini.

Selain itu, lebuh raya Duke juga dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuhraya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ia dilaksanakan di semua lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan dicapai hasil perbincangan kementerian dengan syarikat konsesi tersebut.

“Pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.

“Usaha ini diharap dapat memberikan peluang kepada kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terlibat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu-isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF ini kelak,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama katanya, pelaksanaan MLFF diharapkan dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di plaza tol selain memberikan kemudahan dan memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya terjamin.

“Ketika ini, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, POC dan MLFF ini masih mengikut jadual dan kementerian sedang giat berusaha memastikan kesemua perancangan dapat dijayakan dengan lancar.

“Saya memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini sekali gus memastikan transisi MLFF dapat dilaksanakan,” katanya.

Senarai 12 lebuh raya tawar sistem pembayaran terbuka mulai September 2023:

  1. Lebuhraya Sungai Besi
  2. Lebuhraya Baru Pantai
  3. Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur
  4. Lebuhraya Koridor Guthrie
  5. Jambatan Pulau Pinang
  6. Lebuhraya Butterworth–Kulim
  7. Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
  8. Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT)
  9. Lebuhraya Shah Alam (Kesas)
  10. Terowong SMART
  11. Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX)
  12. Lebuhraya Duta–Ulu Klang (DUKE)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN