Diancam peluru sesat, berlindung di tengah kawasan perang

Diancam peluru sesat, berlindung di tengah kawasan perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Diancam peluru sesat dan pengalaman berlin­dung di tengah-tengah kawasan peperangan adalah antara detik paling sukar dihadapi rakyat Malaysia di Sudan.

Itu antara pengalaman me­ngerikan dikongsi rakyat Malaysia yang terperangkap di Sudan beberapa hari lalu sebelum mereka berjaya dibawa keluar dari negara bergolak itu.

Detik cemas itu dikongsi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam sidang akhbar semalam.

ZAMBRY ABDUL KADIR

Menurutnya, beliau dimaklumkan, rakyat Malaysia yang berlindung sementara di Kompleks Petronas Sudan turut diancam peluru-peluru sesat.

“Saya dimaklumkan, pada hari raya pertama dan kedua, peluru-peluru sesat dikesan menembusi tingkap di kompleks itu yang di dalamnya kakitangan kedutaan sedang berlindung.

“Bagaimanapun, mereka ter­selamat dan tiada kecederaan. Mereka akhirnya berjaya dibawa keluar dari kompleks itu me­nuju ke Rumah Malaysia Sudan ketika tempoh genjatan senjata selama tiga jam.

“Ia suatu keadaan yang amat berisiko kerana jarak perjalanan dari kompleks ke Rumah Malaysia mengambil masa selama empat jam,” katanya.

Katanya, risiko terbesar dihadapi rakyat Malaysia di Sudan adalah terpaksa menempuh perjalanan selama 30 jam dari Khartoum ke Port Sudan untuk ke Jeddah.

Zambry berkata, kumpulan rakyat Malaysia itu terpaksa menempuh perjalanan yang begitu jauh dalam keadaan negara yang diletakkan dalam perintah berkurung.

“Ada ketikanya tayar kende­raan pecah menyebabkan me­reka terpaksa menunggu berjam-jam di tepi jalan sementara menunggu bantuan tiba.

“Tempoh perjalanan yang agak lama adalah risiko terbesar dihadapi mereka. Namun, alhamdulillah mereka semua selamat biarpun nampak keletihan,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, Kompleks Petronas di Sudan diambil alih secara paksa oleh pasukan separa tentera dan dijadikan pusat pemerhatian mereka.

Sudan kini bergolak susulan pertempuran yang meletus antara Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum serta kawasan sekitar sejak 15 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN