PETALING JAYA: Kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, dekat sini pada Sabtu lalu menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang belakang Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika aliran trafik bergerak perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.
“Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta BYD Seal.
“Pelanggaran tersebut turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Perodua Bezza mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC, lelaki berusia 33 tahun, cedera di bahagian kepala.
“Kedua-dua mereka menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Sementara itu, pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun dan pemilik Perodua Myvi, seorang wanita berusia 30 tahun, tidak mengalami kecederaan,” jelasnya.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi kejadian selepas kemalangan itu berjaya dikesan pihak JSPT Kuala Lumpur.
“Lelaki berkenaan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kecederaan gegaran otak dan masih dalam pemantauan pegawai penyiasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UTUSAN











