Cuti khas digunakan buat persiapan raya - Utusan Malaysia

Cuti khas digunakan buat persiapan raya

SEBAHAGIAN orang ramai yang membeli-belah persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penduduk Terengganu memanfaatkan sepenuhnya cuti khas Nuzul Quran semalam untuk membeli-belah pelbagai bara­ngan ke­perluan sempena sam­butan Aidilfitri tidak lama lagi.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, beberapa pasar raya di sini dipenuhi pengunjung yang membawa keluarga membeli-belah termasuk dari luar daerah ini.

Seorang kakitangan swasta, Nur Maizatul Akma Hisyam, 37, berkata, dia datang dari Setiu untuk membeli pakaian tiga anaknya dan bermalam di sebuah rumah inap desa di sini.

“Saya nak beli kelengkapan seperti kasut, baju Melayu, baju kurung, songkok dan tudung di Kuala Terengganu City Centre, kemudian berbuka puasa di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

“Selepas itu pergi ke Pasar Kedai Payang untuk membeli pelbagai rempah masakan seperti rendang, laksa dan nasi beriani untuk hidangan pagi raya,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang kakitangan awam, Julfikar Jamaluddin Alias, 46 pula berkata, dia datang ke Kuala Terengganu sejak pagi kelmarin untuk membeli-belah barangan dapur dan peralatan membuat biskut raya bersama isteri dan tiga anak perempuannya.

“Kebetulan cuti tiga hari, jadi kami mahu membeli semua peralatan yang telah disenaraikan sebelum pulang semula ke Du­ngun.

“Bukan tak boleh membeli-belah di Dungun, tapi isteri dan anak mahu melihat beberapa pakaian muslimah di butik-butik sekitar Kuala Terengganu. Alang-alang dah ada sini, boleh beli terus pakaian kasual dan bahan membuat biskut raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN