Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut terlibat kemalangan

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut terlibat kemalangan

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat kemalangan jalan dengan Axia di KM0.4 Jalan Pontian – Kukup, di Kampung Rimba Terjun di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa, Muhammad Zaid Iqmal Abdul Razib berusia 26 tahun, beralamat di Lorong Warisan Kampung Rimba Terjun.

Katanya, mengikut fakta kes, mangsa menunggang motosikal Honda CBR250 dari arah Pontian ke Kukup, semasa sampai ke lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Azia datang arah Rimba Terjun, tiba-tiba membelok ke kanan.

“Mangsa tidak sempat mengelak, merempuh hadapan kereta Perodua Axia dan terbabas melanggar tembok konkrit parit di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohammad Shofee, mangsa yang masih bujang dan bekerja di Singapura, cedera parah di kepala dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Pontian dengan sebuah ambulans.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pontian ( HP), manakala pemandu Perodua Axia, seorang lelaki berusia 81 tahun, tidak mengalami sebarang kecedraan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi menghubungi Pegawai Penyiasat ( IO) Inspektor Wan Hairi ( 012-3450565 ) di Bahagian Trafik bagi membantu siasatan.

Jenazah mangsa telah dituntut oleh keluarganya selepas bedah siasat pada pukul 5 petang semalam, dan dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rimba Terjun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN