PONTIAN: Kejadian ban atau benteng pecah di Sungai Tanjung Air Hitam, Kulai di sini, baru-baru ini menyebabkan enam buah kampung di kawasan Pekan Nanas dilanda banjir ditambah dengan hujan lebat awal pagi tadi.
Kampung-kampung terlibat ialah Kampung Seri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Maju Jaya, Kampung Melayu Raya, Kampung Maju Jaya dan Kampung Sepakat Jaya.
Perkara tersebut dikongsi oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng ketika melawat lokasi banjir di Kampung Maju Jaya pagi tadi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Johor, sehingga pukul 12.00 tengah hari sebanyak 43 keluarga dengan 150 mangsa kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya.
Jeck Seng berkata, beliau meminta supaya masalah benteng yang pecah di Sungai Tanjung Ayer Hitam, Kulai dibaiki segera bagi mengelakkan kejadian banjir lebih buruk pada musim tengkujuh nanti.
“Saya harap Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Johor mengambil langkah segera bagi membaiki benteng yang pecah itu,” ujarnya.
Mengenai banjir di Kampung Maju Jaya, beliau mencadangkan sistem perparitan serta Pengambilan Balik Tanah (PBT) milik persendirian dilakukan bagi mencegah banjir berulang pada masa akan datang.
Katanya, kos bagi melebar dan meluaskan sungai di kampung tersebut dijangka menelan kos sebanyak RM5 juta sepertimana difahamkan oleh JPS dan akan dibawa ke Parlimen nanti.
“Difahamkan, sungai sedia ada terlalu kecil dan menjadi antara punca limpahan air ke rumah-rumah berhampiran hujan lebat sehingga 0.5 hingga 1 meter,” tambah Jeck Seng.
Beliau memberitahu, JPS telah melakukan kerja-kerja menggali sungai tersebut dua bulan lalu, namun langkah itu belum mencukupi bagi menampung kapasiti air yang banyak ketika hujan lebat.
“Kita akan membawa cadangan bagi melebarkan sungai serta kerja-kerja PBT kepada pihak kementerian berkenaan bagi penyelesaian jangka panjang,” tambah Jeck Seng. – UTUSAN
CAPTION
WEE JECK Seng (kanan) meninjau rumah-rumah penduduk yang dilanda banjir di Kampung Maju Jaya, Pekan Nanas berikutan limpahan air dari sungai berhampiran, di Pontian, Johor, hari ini.









