PETALING JAYA: Kerajaan diseru untuk menyediakan ruang dan sesi khas kepada Ketua Pembangkang untuk menyoal Perdana Menteri di Parlimen.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan selaku Ahli Parlimen Tasek Gelugor merasakan, pihak pembangkang tidak diberikan ruang sewajarnya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri yang diadakan setiap Selasa.
“Sebenarnya semasa slot pertanyaan Perdana Menteri, hanya ahli Parlimen yang disebut oleh speaker sahaja boleh bertanya soalan. Yang lain-lain tak boleh bertanya apa-apa. Speaker hanya benarkan satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan dari pihak satu lagi. Amat jarang bilangan penyoal ditambah.
“Maksudnya, kalau giliran saya tanya soalan asal, hanya saya saja dari sebelah Perikatan Nasional (PN) boleh tanya satu soalan tambahan, dan hanya seorang lagi dari kerajaan boleh tanya satu soalan selepas soalan saya. Ahli Parlimen lain tak boleh.
“Alangkah baiknya kalau sesi ini diperbaiki supaya jadi seperti PMQ Westminster yang mana Ketua Pembangkang wajib diberi slot untuk menyoal Perdana Menteri?” soalnya dalam kenyataan.
Justeru, beliau menganggap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil cuba memberi gambaran berbeza mengenai sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
“Janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot Pertanyaan Perdana Menteri ini, Ketua Pembangkang atau Ketua Parti boleh turut serta dalam tanya soalan. Tak boleh pun sebenarnya. Jangan pusing ke arah persepsi yang salah.
“Tambahan lagi, setakat saya lihat, Perdana Menteri banyak mengelak dari beri jawapan penuh atau Perdana Menteri tak tahu jawapan penuh. Banyak yang meleret-leret tanpa fakta tuntas. Ada masa sebut nama akta pun tak jelas. Ayat pun kadang kadang cacamerba.
“Jadi, sebenarnya yang perlu diberi perhatian ialah kualiti jawapan daripada Perdana Menteri. Kalau kualiti jawapan Perdana Menteri rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah,” katanya. – UTUSAN










