Berbaju Melayu, Edan Syah pecah rekod dunia larian maraton - Utusan Malaysia

Berbaju Melayu, Edan Syah pecah rekod dunia larian maraton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Jurulatih larian Malaysia, Mohd Syahidan Alias atau Edan Syah, berjaya mencipta sejarah dalam Guinness World Record sebagai Pelari Terpantas Dalam Persalinan Baju Melayu menerusi acara maraton yang diadakan di London, United Kingdom (UK), baru-baru ini.

Edan Syah, menerusi acara TCS London Marathon telah menamatkan lariannya dengan catatan masa 2 jam, 49 minit dan 22 saat dalam persalinan baju Melayu yang telah mendapat tajaan jenama popular tempatan, Bulan Bintang.

Difahamkan, busana yang dipakai oleh Edan sepanjang larian tersebut termasuk songkok dan sampin telah direka khas oleh Bulan Bintang yang diketuai oleh pereka fesyen, Mas Anneesya.

Berkongsi mengenai kejayaan tersebut, kata Edan menerusi media sosial, dia berterima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kemenangan tersebut yang menyaksikan kali pertamanya berlari untuk sebuah acara dalam persalinan baju Melayu.

“Untuk pertama kali dalam acara maraton yang pernah saya sertai sepanjang 11 tahun, saya di berikan tanggungjawab untuk mengambil raw footage menggunakan kamera 360 untuk merakamkan momen bersejarah ini.

“Untuk semua yang menyokong dan mendoakan kejayaan kami untuk rekod dunia Fastest Marathon dengan berbaju melayu lengkap, terima kasih!”katanya.

Selain itu, menurut pereka fesyen Bulan Bintang, Mas Anneesya, baju Melayu yang dipakai oleh Edan untuk acara maraton tersebut tidak mudah dihasilkan dan berbeza daripada baju Melayu sedia ada di pasaran.

“Baju Melayu yang direka khas ini menggunakan fabrik jersi dan mesh kerana ia ringan breathable dan tidak membebankan. Ia bagi memastikan atlet dapat berlari pada momentum yang stabil selain tidak menjejaskan lariannya.

“Kami juga menghasilkan seluar panjang dengan poket di sebelah kiri dan kanan serta pinggang elastik kerana praktikalitinya untuk larian jarak jauh. Zip tersembunyi di bahagian buku lali yang ditutupi dengan kain juga direka dan diinovasi untuk mengelakkan kaki daripada lebam atau melecet selain memudahkan atlet untuk memakai kasut.

“Lebih menarik lagi, reka bentuk sampin bercetak yang dipakai Edan Syah mempunyai poket yang berfungsi untuk meletakkan gel tenaga untuk pelari dan botol air kecil manakala songkok pula menggunakan fabrik baldu dan mesh dengan saiz lubang yang lebih besar untuk membolehkan pengudaraan yang lebih banyak,”katanya.

Sementara itu, projek khas yang diberi nama Bulan Bintang Road to London: Make Baju Melayu Great Again ini adalah serentak dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut di seluruh dunia sekali gus mencipta pencapaian yang membanggakan bagi jenama Bulan Bintang.

Untuk info, Edan Syah juga mempunyai rekod berlari lebih 30 maraton penuh dengan catatan masa Terbaik Peribadi selama 2 jam 30 minit.

Edan telah berlari sebanyak 30 maraton penuh di bawah 3 jam dan telah berlari di Maraton Boston iaitu maraton tahunan tertua dan paling berprestij di dunia sebanyak dua kali (2015 & 2017).

Tidak cuma itu, Edan turut tersenarai dalam Guinness World Records sebagai pelari Maraton Terpantas yang berpakaian bendera kebangsaan (lelaki) dengan catatan masa 2 jam 54 min 34 saat di Blackmores Sydney Running Festival pada 16 September 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya