PETALING JAYA: Keuntungan bersih Nestlé (Malaysia) Bhd. bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 susut 0.8 peratus kepada RM195.51 juta daripada RM197.15 juta setahun sebelumnya.
Hasil juga turun 3.2 peratus, iaitu RM1.78 bilion pada suku dalam tinjauan berbanding RM1.84 bilion yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, punca utama penyusutan itu disebabkan sedikit penurunan dalam jualan domestik berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.
Menurutnya, pihaknya mendapati apabila pengguna memilih untuk lebih berjimat dalam perbelanjaan pada suku itu dan juga jangka masa yang agak singkat bagi Tahun Baharu Cina dan permulaan Ramadan.
Walau bagaimanapun, katanya, untung sebelum cukai dan untung selepas cukai Nestlé (Malaysia) bagi suku pertama 2024 kekal kukuh.
“Ini di mana masing-masing pada tahap RM259.1 juta dan RM195.5 juta, dengan tahap keuntungan dalam peratusan jualan yang lebih tinggi sedikit berbanding suku pertama 2023,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, katanya, dari segi perangkaan mutlak, kemerosotan kecil 1.2 peratus dan 0.8 peratus yang dialami sebahagian besar menunjukkan kesan jualan yang lebih rendah sedikit telah diimbangi dengan berkesan.
Jelasnya, dengan menggunakan langkah proaktif pengurangan kos dan harga komoditi lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, menyumbang kepada keseimbangan tersebut.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada membekalkan produk bermutu tinggi buatan Malaysia bagi memenuhi kehendak cita rasa, kemudahan, pemakanan dan nilai rakyat negara ini.
“Memandangkan jangka masa yang singkat antara Tahun Baharu Cina dan permulaan Ramadan, pasukan kami menumpukan segala usaha memastikan pelaksanaan komersial yang berkesan, komunikasi yang sesuai dan kecemerlangan operasi di semua saluran.” katanya.
Tambahnya, Nestlé (Malaysia) akan terus mencapai kemajuan besar dalam agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan menggiatkan semua program sedia ada bagi terus menunjukkan kemajuan.
“Satu kejayaan penting yang dicapai ialah pelancaran rasmi kilang jana kuasa biojisim kami di
Kilang Chembong, Negeri Sembilan.
“Ia merupakan kilang MILO terbesar di dunia bagi Nestlé, yang membolehkan kami mengurangkan emisi gas rumah hijau kilang bersamaan 14,000 tan karbon dioksida setahun.”
Selain itu, kata beliau, Nestlé (Malaysia) akan kekal prihatin terhadap keperluan masyarakat dengan menjalankan pelbagai program bermakna yang dilaksanakan untuk menyokong komuniti tertentu pada suku tahun ini.
Katanya, antaranya termasuk inisiatif seperti membekalkan barang keperluan sekolah kepada 2,600 murid sekolah rendah di seluruh negara; atau pelbagai sumbangan makanan yang dibiayai oleh jenama-jenama Nestlé. – UTUSAN










