MARANG: Bekas penagih dadah yang mengikuti rawatan pemulihan di Perkampungan Darul Barakah, Kampung Pengkalan Berangan di sini bersyukur berpeluang menghayati Ramadan penuh bermakna tahun ini.
Seorang penghuni yang mahu dikenali Sahar, 28, berkata, Ramadan kali ini menginsafkan dirinya kerana terpaksa ‘berkurung’ di pusat pemulihan itu buat kali pertama dan berpisah daripada keluarga tersayang sejak setahun lalu.
Menurutnya, walaupun kekok pada permulaan, namun rutin harian sepanjang Ramadan seperti bangun Qiamullail, tadarus Al-Quran, kuliah Dhuha, solat berjemaah dan solat sunat Tarawih menyentuh jiwa kerana dilakukan dengan penuh penghayatan dan harapan.
Katanya, sebelum ini hidupnya terpesong apabila tidak menjaga solat dan derhaka kepada ibu disebabkan dadah, namun bertekad mahu menjalani rawatan antara 12 hingga 14 bulan di situ untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini.
“Saya mula terjebak dengan pil kuda ketika menuntut di sebuah universiti kerana pengaruh kawan-kawan atas dasar hanya mahu mencuba,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sahar adalah antara 86 bekas penagih dadah yang sedang menerima rawatan di pusat pemulihan itu yang diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi menangani masalah penagihan dadah di Terengganu.
Seorang lagi bekas penagih yang mahu dikenali sebagai Hassan, 35, pula berkata, dia bersyukur kerana banyak perubahan dapat dirasai setelah mengikuti rawatan di pusat pemulihan itu dan kembali mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar.
“Alhamdulillah, sejak masuk di pusat pemulihan ini pada Mac tahun lalu, saya sudah berjaya khatam Al-Quran sebanyak 11 kali dan berjaya menghafal beberapa surah seperti Al Mulk, Yasin, Kahfi dan Ar Rahman.
“Kedatangan Ramadan kali ini saya nekad mahu manfaatkan sepenuhnya untuk menebus kembali dosa silam terutama kesilapan yang dilakukan terhadap ibu kandung sendiri.
“Apabila keluar nanti, saya mahu membalas jasa ibu selagi nyawa dikandung badan dan menyambung semula lesen perubatan agar dapat bekerja kembali sebagai seorang doktor,” katanya yang mula belajar menghisap dadah sejak berusia 13 tahun di sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini.-utusan










