SEREMBAN: Seorang bapa bersama empat orang anaknya terpaksa tinggal di sebuah bilik kecil di sebuah kawasan rumah kedai selepas dia terputus pendapatan akibat menderita penyakit saraf sejak lima bulan lalu.
Abdul Hamid Shaari, 59, terpaksa membesarkan anak-anaknya yang berusia sembilan hingga 16 tahun di bilik kecil itu selepas tidak mampu membayar sewa sebanyak RM900 bagi rumah yang didiami mereka sebelum ini.
“Sejak lima bulan lalu saya tidak lagi boleh bekerja sebagai tukang paip kerana diserang sakit saraf sehingga menyukarkan pergerakan saya mencari rezeki. Saya ambil keputusan berpindah ke sebuah bilik kecil ataupun stor ini kawasan rumah kedai di Taman Tuanku Jaafar di sini yang sewanya lebih murah.
“Duit simpanan saya hampir habis. Baju dan buku sekolah anak-anak memang saya tidak dapat belikan yang baharu. Persiapan raya apatah lagi kerana pendapatan saya sudah terputus.
“Alhamdulillah ada beberapa pelanggan yang mengetahui nasib saya ini menghulurkan sumbangan makanan dan wang untuk kami lima sekeluarga meneruskan kehidupan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Abdul Hamid menjelaskan, tiga daripada anaknya itu hasil perkahwinannya yang pertama dan anak keempat merupakan hasil daripada perkahwinan keduanya.
“Bekas isteri pertama saya itu mahu bekerja di luar negara dan saya buat keputusan untuk menjaga kesemua anak kami sebelum akhirnya saya mendapat surat cerai yang dihantar secara pos pada tahun 2012.
“Kemudian saya sekali lagi berkahwin, namun bercerai juga atas sebab saya dan bekas isteri masing-masing mempunyai anak serta sukar untuk tinggal di bawah satu bumbung. Hasil perkahwinan itu, kami dikurniakan seorang anak yang mana anak itu dijaga oleh saya sehingga kini,” katanya lagi.
Sementara itu, nasib yang dihadapi oleh Abdul Hamid turut mendapat perhatian daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang segera menghulurkan bantuan selepas menerima laporan mengenainya.
“Saya terkejut apabila semalam pihak MAINS datang ke rumah setelah mendapat tahu mengenai keadaan saya sekeluarga daripada seorang guru anak saya yang berusia 16 tahun.
“Alhamdulillah, terima kasih cikgu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tuanku Jaafar. Saya benar-benar tidak sangka dan kini saya sedang mencari rumah sewa baharu yang akan dibayar sewa bulanannya oleh MAINS,” katanya.
MAINS dalam pada itu memaklumkan akan membantu keluarga tersebut dengan bantuan deposit rumah sewa baharu dan bayaran sewa selama tiga bulan.
Selain itu, MAINS juga menerusi amanah zakat akan meringankan beban keluarga berkenaan dengan bantuan kewangan secara bulanan dan bantuan kebajikan yang merangkumi bantuan persekolahan dan sara hidup selain wang tunai segera yang telah disampaikan kepada Abdul Hamid sebagai bantuan awal.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan menerusi akaun Maybank di nombor 151575133952 di atas nama Abdul Hamid Shaari. – UTUSAN










