Bank BSI tidak fail laporan transaksi mencurigakan dana 1MDB

Bank BSI tidak fail laporan transaksi mencurigakan dana 1MDB

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Bank BSI (Singapura) tidak memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada polis republik itu meskipun urus niaga dana fidusiari berskala besar disalah guna oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kevin Michael Swampillai berkata, urusniaga 1MDB serta syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya menimbulkan tanda-tanda amaran (red flag) kerana ia melibatkan individu yang terdedah secara politik di Malaysia.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Cawangan Singapura menjelaskan, kebiasaannya kerajaan terlibat memilih bank komersial atau bank pelaburan bagi urusniaga fidusiari, bukan bank yang lebih kecil secara relatif.

Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata, pihak bank akan memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada polis jabatan komersial jika wujud tanda-tanda amaran yang mana akan menyebabkan akaun berkenaan ditutup dan transaksi urus niaga dihentikan.

Ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, Kevin memberitahu, pihak Bank BSI bagaimanapun tidak memfailkan laporan tersebut kerana isu berkaitan tanda amaran tidak dibangkitkan oleh lembaga pengarah 1MDB.

Bank BSI adalah anak syarikat milik penuh BSI SA, sebuah bank yang diasaskan pada 1873 dan beribu pejabat di Switzerland yang menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan swasta termasuk kemudahan dana fidusiari.

Pada perbicaraan lalu, Kevin memberitahu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengetahui urus niaga dana fidusiari oleh 1MDB kerana beliau merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat tersebut yang ketika itu dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Ujarnya, urus niaga dana fidusiari 1MDB diuruskan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi mengaburi pihak berkepentingan di Malaysia.

Menurut Kevin, Jho Low secara berterusan mengaku kepada BSI bahawa beliau merupakan penasihat kepada Najib.

Ujar saksi, Jho Low secara konsisten turut memberi jawapan kepada pihak bank bahawa urus niaga itu merupakan pelaburan antara kerajaan yang sangat sulit yang menghalang maklumat lanjut diberikan.

Mahkamah turut diberitahu melalui keterangan lisan Kevin bahawa beliau dan beberapa pihak lain di BSI berurusan dengan Jho Low yang melabur berbilion dolar dana 1MDB dan syarikat berkaitan lain dalam kaedah kabur melibatkan lapisan transaksi dan menyembunyikan identiti syarikat pelanggan.

Pada prosiding hari ini, Kevin berkata, sumber bagi urusniaga dana fidusiari sepatutnya tidak dikaburi sebaliknya akan dibawa kepada pengetahuan BSI Singapura yang mana pihak bank akan membuat semakan terperinci berhubung arahan dan pihak yang mengeluarkan arahan.

Saksi memberitahu, pihak BSI mendapati dana yang terlibat adalah samar-samar manakala entitinya termasuk British Virgin Islands (BVI) dan Cayman Islands tidak pernah didengar sebelum ini sehingga menimbulkan tanda-tanda amaran kepada pihak bank.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Najib yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya