KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Rozita Che Wan, 50, mengakui hairan dengan tindakan segelintir peminat dunia fesyen yang gemar bereksperimentasi dengan busana tradisi seperti Baju Melayu sehingga akhirnya pakaian yang dihasilkan kelihatan pelik atau jelik.
Menurutnya yang lebih mesra disapa sebagai Che Ta, dia memahami bahawa dunia fesyen itu sememangnya subjektif atas nama seni namun identiti baju tradisi tidak seharusnya diubah suai dengan gaya yang keterlaluan.
“Saya faham, terutama apabila musim perayaan ini, ramai yang tidak semestinya mengenalan baju tradisional. Malah, ada orang yang dia memang tak sesuai pakai baju tradisional maka dia suka busana yang lebih moden.
“Saya pun begitu, ada baju raya yang moden dan klasik untuk digayakan sepanjang hari raya ini, maklumlah suka melaram. Saya pun rasa tak salah kalau ada yang nak bergaya menyerlah di hari raya begini, tetapi janganlah fesyen itu kelihatan pelik sangat.
“Baju tradisi mesti tetap kena ada identitinya. Kalau boleh kita kena peliharalah warisan pakaian bangsa kita seadanya,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Che Ta berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai segelintir individu yang sengaja tampil dengan fesyen aneh menggunakan pakaian baju tradisional seperti Baju Melayu sehingga menjadi tular di media sosial saban tahun terutama pada musim perayaan.
Selain itu, Che Ta juga tidak menolak kemungkinan individu-individu yang berbuat demikian sengaja mahu mencari perhatian dan tular di media sosial meski pun sedar tindakan mereka itu hanya mengundang kecaman orang ramai.
“Tak tahu apa yang mereka fikirkan, mungkin setengah orang kehidupan dia sendiri pun dah pelik, jadi dia zahirkan dalam fesyen yang digayakan, agaknyalah.
“Sekarang ini pula zaman media sosial, buat benda pelik sikit, cepat tular. Orang begini mungkin terlalu kreatif. Adakala saya sendiri pun terhibur dengan aksi mereka ini.
“Sesekali apabila fikir semula, tak apalah, sekurang-kurangnya mereka ini tak mengacau hidup orang lain. Mereka bahagia dengan cara tersendiri,”katanya.-utusan










