Azlan berdepan hukuman penjara 20 tahun

Azlan berdepan hukuman penjara 20 tahun

AZLAN Man cuba mengelak daripada pihak media merakam gambar beliau yang didakwa atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1.185 juta di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis semalam - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini semalam membabitkan tuntutan palsu melibatkan kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.185 juta.

Azlan yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas semua pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan tersebut, Azlan selaku Menteri Besar Perlis didakwa telah mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.

Azlan didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau.

Tertuduh berniat memperdayakan prinsipalnya membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. serta Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd.

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, antara 11 Disember 2013 sehingga 14 Disember 2017.

Pendakwaan berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding tersebut, Timbalan Pengarah II, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib memohon tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Ahmad Akram turut memohon kepada mahkamah agar kes itu dipindahkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi memudahkan prosiding berkenaan memandang Azlan bakal didakwa atas satu lagi pertuduhan membabitkan kesalahan Akta Pengecahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 selepas ini.

Susulan itu, peguam bela tertuduh, Burhanudeen Abdul Wahid bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya anak guamnya dikenakan kadar jaminan berkenaan.

Hakim membenarkan jaminan serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 12 Mei ini.

Azlan membayar jaminan tersebut.

Dalam pada itu, Azlan dilihat cuba mengelak daripada pihak media untuk merakamkan gambar dan mendapatkan reaksi beliau apabila menggunakan laluan lain seterusnya bergegas menuju ke kereta meninggalkan pekarangan mahkamah.

Azlan menjadi Menteri Besar dari 2013 sehingga 2022 sebelum UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai beliau tewas semua 18 kerusi dalam PRU15 sekali gus hilang penguasaan kerajaan negeri buat pertama kali dalam sejarah.

Malah karier politik beliau juga dilihat semakin kabur apabila tewas jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar dalam pemilihan parti itu baru-baru ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×