Arcturus: Jangkitan Covid-19 Malaysia terkawal

Arcturus: Jangkitan Covid-19 Malaysia terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Omicron kekal satu-satunya varian Covid-19 yang sedang menular dalam Malaysia pada masa ini setelah 70.97 peratus atau 18,319 kes daripada jumlah kumulatif kes adalah sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian berkepentingan (VOI).

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, meskipun timbul satu lagi subvarian iaitu XBB.1.16 atau Arcturus, keadaan jangkitan Covid-19 masih lagi terkawal dan tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital.

Katanya, Arcturus iaitu subvarian tergolong di bawah famili varian Omicron terbentuk hasil gabungan atau rekombinan varian BA.2.10.1 dan BA.2.75 telah dinilai sebagai suatu subvarian memerlukan perhatian, tetapi tidak diletakkan kelas varian di bawah pemantauan Kumpulan Pakar Teknikal Evolusi Virus Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun katanya,  kementerian terus memantau situasi dan varian/subvarian Covid-19.

“Sehingga 2 April lalu, subvarian Arcturus telah dikesan sekurang-kurangnya 31 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Di Malaysia, sebanyak 12 kes subvarian XBB.1.16 (Arcturus) telah dilaporkan dan kesemuanya bergejala ringan dan stabil. Pecahan kes adalah enam di Sarawak, empat di Selangor dan dua di Kuala Lumpur. Penilaian risiko peringkat global melaporkan risiko jangkitan dan keterukan kes yang disebabkan oleh subvarian.

“XBB1.16 adalah lebih rendah dari subvarian XBB.1.5 dan varian/subvarian lain yang telah dilaporkan sebelum ini. Walaupun Malaysia telah mengenal pasti varian XBB.1.16 sejak Mac, keadaan jangkitan Covid-19 masih lagi terkawal dan tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha memaklumkan, kes Covid-19 terkini yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 16/2023 telah menurun sebanyak 6.4 peratus iaitu 5,149 kes kepada 4,817 kes berbanding jumlah kes yang dilaporkan pada ME 15/2023.

Namun beliau mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan TRIIS iaitu Test  (Uji)), Report (Lapor), Isolate (Asing), dan Seek (Dapatkan) bagi yang bergejala. 

“Sekiranya positif Covid-19, lakukan pengasingan kendiri dengan segera untuk tempo yang ditetapkan. Mereka yang berisiko tinggi seperti golongan rentan, warga emas, dan kanak-kanak adalah digalakkan memakai pelitup muka apabila berada di kawasan sesak, sempit, dan ramai orang. 

“Masyarakat juga dinasihatkan sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman,” katanya.

Beliau juga mengingatkan individu belum menerima dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan agar segera mendaftarkan diri dan mendapatkan vaksin untuk mengekalkan status imuniti dan mencegah daripada jangkitan termasuk varian baharu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya