MACHANG: Seorang anggota polis berpangkat koperal dan rakannya dicekup selepas dipercayai menyeludup bunga api dan mercun bernilai RM25,000 menggunakan sebuah trak pikap Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lampu Isyarat Wakaf Bata di sini, Selasa lalu.
Anggota polis berusia 35 tahun itu dan rakannya berusia 32 tahun ditahan anggota risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 selepas mengekori trak pikap jenis Toyota Hilux milik PDRM berkenaan kira-kira pukul 7.45 malam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kenderaan terbabit dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Tanah Merah ke arah Machang sebelum anggota PGA menahannya semasa tiba di lampu isyarat Wakaf Bata.
“Pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan itu menemukan sebanyak 15 kotak dan 12 guni mengandungi pelbagai jenis bunga api termasuk mercun yang bernilai RM25,000.
“Selepas semakan dijalankan, suspek pertama adalah anggota polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu manakala rakannya bekerja sebagai mekanik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, semakan turut mendapati, suspek kedua itu mempunyai lima rekod lampau berkaitan dengan kes dadah.
Katanya, polis sedang mengenal pasti sama ada anggota polis terbabit berada di luar kawasan kerana tugas atau sebaliknya.
Muhamad Zaki berkata, kedua-dua suspek ditahan reman empat hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – UTUSAN