SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengetuai delegasi 11 syarikat tempatan berkaitan teknologi ke Amerika Syarikat (AS) pada 1 hingga 4 Mei ini dalam sidang kemuncak pelaburan Select USA Investment 2023 anjuran Jabatan Perdagangan AS.
Kesemua 11 syarikat yang terpilih itu ialah Asia Mobility Technologies, iMotorbike, ALPS Global Holding, Virtualtech Frontier, Boxcube, Entomal, Revenue Monster Group, QMed, Accendo Technologies, Kiddocare dan Pod.
Syarikat-syarikat berkenaan terlibat dalam bidang seperti pengangkutan pintar, metaverse, penjagaan kesihatan pintar, bioteknologi, platform ekonomi gig, inovasi kemampanan ESG, teknologi sumber manusia, teknologi kewangan dan pelancongan.
Malah, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Perdagangan, Datuk Teng Chang Khim juga akan menyertai mesyuarat meja bulat pelaburan yang dianjurkan oleh jabatan tersebut dan Pejabat Gabenor California.
Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dalam satu kenyataan memberitahu, 11 syarikat pemula niaga itu juga akan mengambil bahagian dalam sesi pembentangan idea yang diadakan buat julung kalinya di Kedutaan Malaysia di Washington, D.C.
“Sidang Kemuncak SelectUSA Investment Summit itu yang akan dirasmikan oleh Presiden AS Joe Biden dijangka menyediakan peluang kepada pemula niaga teknologi Malaysia untuk bertemu dengan pelabur dan syarikat modal teroka antarabangsa serta rakan perniagaan berpotensi menerusi pertemuan perniagaan bersemuka.
“Mereka akan diiringi oleh beberapa agensi pelaburan dan dana modal teroka seperti Penjana Kapital, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), The Hive Southeast Asia, The SEA Capital dan Sterling Equity,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sesi pembentangan di Kedutaan Malaysia dijangka menarik kerjasama dengan kira-kira 30 syarikat pemula dalam bidang sama dari Singapura dan Taiwan serta 70 tokoh perniagaan dan politik, dan pelajar serta komuniti Malaysia di luar negara.
Jelasnya lagi, sidang kemuncak tersebut yang dirasmikan oleh Presiden AS Joe Biden dijangka menyediakan peluang kepada pemula niaga teknologi Malaysia untuk bertemu dengan pelabur dan syarikat modal teroka antarabangsa serta rakan perniagaan berpotensi menerusi pertemuan perniagaan bersemuka.
Dalam pada itu, delegasi negara juga dijadualkan berkunjung ke Silicon Valley bermula 4 Mei bagi bertemu dengan beberapa pemula niaga asing dan syarikat besar modal teroka AS.
“Antara program yang disusun termasuklah sesi pembentangan idea dan pameran, mesyuarat meja bulat pelabur dan lawatan industri termasuk ke Draper University yang diasaskan oleh tokoh terkemuka pemodal teroka Silicon Valley, Tim Draper.
“Mereka akan menyertai perbincangan meja bulat dengan 500 Global, satu daripada dana modal teroka peringkat awal paling aktif, dan modal teroka lain seperti The Hive USA, March Capital dan Piva Capital,” ujarnya. – UTUSAN