Alisha Mardhiah tidak mahu dipeluk – Bapa

Alisha Mardhiah tidak mahu dipeluk – Bapa

MUHAMMAD Ubaidillah Zikri Adnan menyiram air di pusara anaknya, Alisha Mardhiah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang bapa tidak menyangka perubahan sikap ditunjukkan anak perem­puan tunggalnya sejak empat hari lalu menjadi petanda kanak-kanak itu akan pergi buat selamanya.

Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 30, yang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur, berkata, anak perempuannya, Alisha Mardhiah, 2, seolah-olah menjauhkan diri beberapa hari sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabor dekat Cheneh, Kemaman, petang semalam.

Namun, katanya, dia yang tiba di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit di sini, Khamis lalu, tidak berfikir buruk tentang perubahan sikap Alisha Mardhiah yang meninggal dunia bersama datuk tirinya dalam kemalangan itu.

Dia memberitahu, bayi dalam kandungan isterinya, Nurul Fatihah Azman, 28, yang berusia lima bulan juga maut dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabor dekat Cheneh, Kemaman, pada pukul 4.45 petang kelmarin.

“Ketika tiba di kampung halaman, anak saya itu sangat manja namun sejak menyambut hari raya, Alisha Mardhiah tiba-tiba berubah dan hanya mahu bersama isteri saya, Nurul Fatihah Azman, 28.

“Walaupun saya memanggil dan cuba mendukungnya, dia enggan dan itu membuatkan saya agak pelik. Saya tidak sangka pula menjadi tanda dia akan meninggalkan kami.

“Selain Alisha Mardhiah dan ayah mertua tiri, kami turut kehilangan bayi dalam kandungan isteri yang dijangka bersalin Ogos ini. Syawal kali ini cukup pilu buat keluarga saya,” ujarnya.

Muhammad Ubaidillah Zikri ditemui selepas jenazah Alisha Mardhiah dan datuk tirinya, Abd. Halim Ismail, 71, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Rakit di sini pukul 12.45 tengah hari semalam.

Selain itu, kemalangan tersebut juga mengakibatkan Nurul Fatihah patah tangan selain ibu mertua, Zaiton Mohamad, 57, patah kaki dan tulang rusuk.

“Pada hari kejadian kami sekeluarga baru pulang beraya di rumah saudara di Perasing dan dalam perjalanan pulang ke Batu Rakit. Ayah mertua tiri (Abd. Halim) juga tidak banyak bercakap hari itu,” ujarnya.

Sementara itu, anak ke­dua Abd. Halim, Zamila Abdul Halim, 50, pula memberitahu, sebelum sambutan Aidilfitri, arwah ayahnya mahu makan tapai pulut dibungkus dengan daun jambu laut.

Malah, katanya, ayahnya sendiri yang mencari daun jambu laut itu di kawasan pantai berdekatan.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN