PONTIAN: Bagaikan sudah kering air mata Omar Yuhyi, 70, apabila mengenangkan anaknya, Sheikh Faeizan yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di sebuah penjara di Taiwan akibat terpedaya menjadi keldai dadah.
Omar berkata, Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba seperti tiada ertinya apabila mengenangkan nasib anak kelima daripada tujuh beradik itu yang sudah 16 tahun beraya di dalam penjara di sana.
Lebih memilukan, pemergian isterinya, Hadiah Gondet, tiga tahun lalu menambah keperitannya kerana arwah tidak sempat menatap wajah Sheikh Faeizan atau dikenali sebagai Pak Tam sejak 2007.
Pengharapan demi pengharapan yang dinyatakan menerusi surat dan panggilan telefon Pak Tam bahawa dia akan diberikan pengampunan oleh pemerintah Taiwan, nampaknya belum menemukan noktahnya.
“Daripada seorang pemuda berusia 19 tahun ketika ditangkap, Pak Tam kini berusia 35 tahun dan sebagai bapa tentu saya rindu serta ingin menatap wajahnya.
“Saya pun sekarang sudah berusia 70 tahun. Entah esok, entah lusa, ditakdirkan saya dipanggil Ilahi, terkilan rasanya sepertimana ibunya yang tidak dapat melihatnya buat kali terakhir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas, di sini.
Mengimbas kembali peristiwa 16 tahun lalu, katanya, Pak Tam ditahan di lapangan terbang di Taipei ketika hendak berlepas pulang ke Malaysia setelah didapati membawa heroin seberat 2.141 kilogram yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik operasi menghantar barangan kristal ke Taiwan.
Katanya, Pak Tam dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 24 Jun 2007 dan hingga kini masih gagal mendapatkan pengampunan bagi membolehkannya dibebaskan.
Omar yang juga bekas anggota tentera berkata, ketika ini Pak Tam dibenarkan menghubungi keluarga tiga bulan sekali dengan tempoh perbualan kira-kira dua minit yang dibenarkan oleh penjara.
Dia yang tinggal dengan anak perempuannya, Nur Amirah Sarah, 32, bersama suami dan seorang anak mereka serta abang Pak Tam, Sheikh Fairul, 39, berharap kerajaan dapat membantu membawa keluar anaknya dari Taiwan kerana yakin pemuda itu menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah. – UTUSAN










