Aidilfitri: Lapan kawasan di Marang berisiko alami gangguan air - Utusan Malaysia

Aidilfitri: Lapan kawasan di Marang berisiko alami gangguan air

ABDUL Karim Endut (tengah) bergambar  bersama pengamal media yang hadir di majlis berbuka puasa anjuran Satu di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak lapan kawasan di daerah Marang dekat sini dikenal pasti berisiko mengalami gangguan bekalan air pada sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu), Abdul Karim Endut  berkata, lapan kawasan terlibat adalah Kampung Gong Kasim, Bukit Kecil, Durian Pahit, Gong Balai, Pasir Putih, Alor Ketitir, Tok Fakir dan Felda Rantau Abang 1.

Menurutnya, masalah gangguan air itu berlaku berikutan projek menaik taraf paip utama dari Loji Rawatan Air (LRA) Kepong ke dua tangki utama daerah itu.

Katanya, projek LRA itu merupakan sebahagian daripada komponen utama projek Kuala Terengganu Utara (KTU) dan pembinaan  telah mencapai  tahap 90 peratus ketika ini.

“Bagaimanapun, SATU telah membuat perancangan proaktif dengan menempatkan 34 tangki-tangki statik bagi memudahkan para pengguna mendapat bekalan air bersih sepanjang perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa anjuran Satu di sini, semalam.

Pada masa sama, Abdul Karim memberitahu, Satu juga memberi jaminan bekalan air tidak akan terganggu di kawasan-kawasan lain walaupun terdapat peningkatan penggunaan antara 10 hingga 15 peratus pada musim perayaan itu.

Katanya, ketika ini penggunaan harian air di Terengganu ialah sebanyak 755 juta liter padu (MLD) hasil operasi di 16 LRA di seluruh negeri itu.

“Kepulangan anak perantau ke Terengganu pada Aidilfitri kali ini dijangka meningkatkan penggunaan antara 70 hingga 80 MLD setiap hari, namun kita yakin tiada lagi masalah gangguan bekalan yang akan berlaku.

“Satu komited memastikan aktiviti perayaan pengguna tidak akan terganggu dan kita juga akan menghentikan semua kerja yang boleh mengganggu operasi loji seperti penyelenggaraan dalam tempoh seminggu sebelum raya dan seminggu kemudian supaya operasi loji berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya