Aidilfitri: Kenderaan berat dilarang guna lebuh raya

Aidilfitri: Kenderaan berat dilarang guna lebuh raya

Zailani Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenderaan berat dilarang menggunakan jalan raya khususnya lebuh raya selama empat hari bermula hari ini dan esok serta 24 dan 25 April ini sempena musim perayaan Aidilfitri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, larangan itu bertujuan mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan risiko nahas akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.

Katanya, larangan kenderaan berat membabitkan tujuh jenis kenderaan barangan termasuk lori pembawa dan lori jongket yang berat dengan muatannya melebihi 7,500 kilogram (kg), lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar dan lori balak bagi sepanjang masa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lori yang berat dengan muatannya melebihi 7,500 kg yang mengangkut simen, besi, keluli, batu, pasir, tanah, amang, bijih timah, arang batu atau bahan binaan atau bahan galian lain.

“Bagi lori kontena mengangkut barang, lori kargo mengangkut barang elektronik atau elektrik atau bahan industri kimia dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya, dibenarkan berada di atas jalan dan menggunakan lebuh raya dari 12 tengah malam hingga 8 pagi.

“Turut dibenarkan untuk tempoh itu, lori mengangkut tandan buah kelapa sawit segar, produk kelapa sawit mentah, getah sekerap dan susu getah serta lori kargo tanpa muatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Zailani, bagi kren bergerak dan lori pembancuh simen pula, ia dibenarkan dari pukul 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 kilometer dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi dibenarkan di atas jalan tertentu.

Beliau berharap pengguna jalan raya dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika pulang beraya bagi mengelakkan diambil tindakan tegas atau kompaun.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersiap-siaga dalam memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan risiko kemalangan.

Katanya, JPJ juga telah membekukan cuti kesemua anggota bertugas bagi kelancaran penugasan sepanjang tempoh tersebut dengan seramai 2,200 ditugaskan bagi penguatkuasaan di semua lebuh raya di seluruh negara sempena Aidilfitri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×