Agihan 500 pakaian raya percuma lancar, selesai dalam 30 minit

Agihan 500 pakaian raya percuma lancar, selesai dalam 30 minit

AJWAD Khan Nasir Khan (tengah) bersama pengunjung kedai pakaian Starvilion di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. - MINGGUAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Program pengagihan pakaian raya percuma kepada 500 pelanggan kedai pakaian Starvilion di Seksyen 7 di sini, semalam mendapat sambutan luar biasa dan berjalan lancar tanpa insiden kekecohan.

Semua baju Melayu, kurta dan tudung itu selesai diinfaqkan dalam tempoh 30 minit bermula pukul 9 pagi.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, orang ramai membanjiri kawasan premis itu dengan beratur sepanjang hampir 400 meter seawal pukul 7 pagi.

Pemilik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Starvilion Sdn. Bhd., Ajwad Khan Nasir Khan berkata, pihaknya bersyukur program ‘Infaq SamasamaKitaRaya’ itu tidak berlaku kekecohan seperti minggu sebelumnya.

“Kelemahan pengurusan mengenai sistem pengagihan dan memohon maaf atas insiden tular itu sebelum ini. Namun, kami kali ini sudah menyusun sistem agihan sebaik mungkin dengan turut menyediakan kupon bernombor dan khemah.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan turut dikawal anggota polis sepanjang program infaq tersebut,” katanya ketika ditemui di kedai itu.

Suasana kedai berkenaan pada minggu lalu dilaporkan kecoh apabila diserbu orang ramai yang berebut mahu membeli pakaian berharga RM1.

Siasatan polis mendapati insiden berlaku ekoran premis itu membuat promosi pembelian pakaian kepada 100 pelanggan terawal. Namun, lebih 500 pengunjung membanjiri kedai itu sehingga berlaku tolak menolak dan kekecohan.

Video kejadian itu tular dalam media sosial memaparkan premis berkenaan dipenuhi pengunjung yang sanggup berbaris panjang sejak awal pagi.

Sementara itu, seorang pelanggan, Ahmad Nazeem Rahim, 39, berkata, dia bersama isterinya beratur di barisan yang disediakan premis itu seawal pukul 6.30 pagi.

“Kami gembira kerana mendapat pakaian raya percuma ini selepas gagal memperolehnya akibat kekecohan minggu lalu. Suasana kali ini nyata berbeza dan dilihat lebih teratur dengan turut dikawal ketat pihak berkuasa,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan situasi lokasi kedai berkenaan dalam keadaan terkawal.

“Perbincangan antara polis dan pengurusan premis itu dijalankan susulan kekecohan sebelum ini terutama melibatkan faktor keselamatan pengunjung. Saya turut mengarahkan sepasukan anggota menjalankan pemantauan dan kawalan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×