PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani merakam penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Op Lancar dan Op Selamat 20 dalam memastikan keadaan lalu lintas berjalan lancar serta kediaman yang ditinggalkan terjaga daripada sebarang insiden yang tidak diingini.
Beliau berkata, hal tersebut jelas menunjukkan komitmen tinggi warga pasukan dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan mereka.
“Alhamdulillah, Op Lancar serta Op Selamat 20 sempena sambutan Aidilfitri berjaya dilaksanakan.
“Mewakili kerajaan Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas yang sanggup mengetepikan kepentingan diri serta keluarga, demi memastikan keselamatan rakyat diberikan keutamaan sepanjang musim perayaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kebijaksanaan barisan kepimpinan PDRM dalam menyusun strategi penugasan dan penggiliran tugas secara teliti sepanjang musim perayaan ini harus diberikan pujian.
“Tidak dilupakan, setulus penghargaan izahirkan kepada pasukan sahabat, syarikat konsesi lebuh raya, rakan-rakan kolaborasi serta pihak media yang turut berganding bahu dalam memastikan Op Selamat 20 berjalan lancar.
“Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada seluruh ahli masyarakat yang telah mematuhi peraturan dan undang-undang demi memastikan keselamatan diri serta insan yang tersayang,” katanya.
PDRM melaksanakan Op Lancar dan Op Selamat 20 bagi memastikan kelancaran trafik serta penekanan pada pencegahan jenayah pecah rumah menjelang Aidilfitri.
Op Lancar akan dilaksanakan bermula 18 dan 19 April memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan manakala Op Selamat 20 bermula 20 April lalu sehingga semalam bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
Fokus utama operasi tersebut adalah memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kemalangan, jaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa perayaan.- UTUSAN