Perbicaraan kes rasuah bekas wanita pertama Korea Selatan bermula

Perbicaraan kes rasuah bekas wanita pertama Korea Selatan bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan hari ini memulakan perbicaraan jenayah terhadap isteri bekas presiden Yoon Suk Yeol,
menjadikannya bekas wanita pertama di negara itu yang menghadapi kes di mahkamah selepas suaminya digulingkan kerana percubaan undang-undang tentera.

Kim Keon Hee ditahan pada Ogos atas pelbagai tuduhan, termasuk memanipulasi saham dan rasuah.

Beliau hadir secara peribadi di Mahkamah Daerah Pusat Seoul dengan pengawal pengiring.

Berpakaian sut gelap dengan rambut disanggul, Keon Hee memakai lencana bernombor tahanan 4398 di dadanya.

Perbicaraan bermula dengan mahkamah mengesahkan identiti dan pekerjaan beliau, yang dijawab ringkas: “Saya tiada pekerjaan.”

Beliau turut memberikan tarikh lahirnya dan menolak untuk memohon perbicaraan dengan juri.

Kes ini menjadikan Korea Selatan kini mempunyai bekas presiden dan bekas wanita pertama yang kedua-duanya menghadapi prosiding jenayah secara serentak.

Kim sudah lama menjadi perhatian kerana dakwaan penglibatannya dalam manipulasi saham.

Kritikan kembali timbul pada 2022 apabila seorang paderi sayap kiri merakam dirinya menghadiahkan beg tangan Dior kepadanya, yang dilihat diterima Keon Hee.

Beliau juga dituduh campur tangan dalam pemilihan calon Ahli Parlimen bagi parti suaminya, Suk Yeol, yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Pakar undang-undang berkata, perbicaraan itu mungkin memanggil pasangan bekas presiden itu, sekali gus berkaitan dakwaan mempengaruhi pilihan raya.

Semasa Suk Yeol menjadi presiden, beliau menolak tiga rang undang-undang siasatan khas yang diluluskan Parlimen pembangkang untuk menyiasat Keon Hee, dan seminggu kemudian mengisytiharkan undang-undang tentera.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×