GEORGE TOWN : Buaya tembaga yang ditangkap di perairan Teluk Bahang semalam dipindahkan ke Paya Indah Wetlands (PIW) di Dengkil, Selangor untuk proses kuarantin sebelum dilepaskan semula ke habitat yang sesuai.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang, Mohd. Zaide Mohamed Zin berkata, ketika ditangkap, reptilia jantan dewasa seberat kira-kira 100 kilogram (kg) itu dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun.
“Buaya itu telah dibawa menaiki pacuan empat roda jenis Hilux ke Taman Negara Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut dan pengambilan ukuran sebelum dipindahkan ke sana (PIW).
“Ketika proses pemeriksaan dibuat, buaya berkenaan tidak melawan dan tidak agresif. Pasukan Perhilitan juga bertolak ke PIW malam tadi dan reptilia itu akan menjalani kuarantin selama seminggu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, penduduk sekitar Teluk Bahang gempar selepas kelibat seekor buaya tembaga muncul berhampiran pantai di kawasan peranginan tersebut.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani, kemunculan reptilia berbahaya itu dikesan kira-kira pukul 3.30 petang dan haiwan terbabit akhirnya berjaya ditangkap kira-kira pukul 6.15 petang.
Dalam pada itu, Mohd. Zaide berkata, sekiranya tiada masalah kesihatan dikesan, buaya berkenaan akan dilepaskan ke habitat asal seperti kolam atau kawasan paya di bawah seliaan Perhilitan.
“Kita percaya buaya tembaga itu tersesat dan datang dari sungai yang berdekatan. Ketika ditangkap, buaya ini berada dalam keadaan lemah, namun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.-UTUSAN










