3 ditahan disyaki pecah amanah wang jualan vape bernilai RM505,674 - Utusan Malaysia

3 ditahan disyaki pecah amanah wang jualan vape bernilai RM505,674

TIGA lelaki ditahan polis Pulau Pinang selepas disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan wang jualan sebuah syarikat menjual vape bernilai RM505,674.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Tiga lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan wang jualan sebuah syarikat menjual vape bernilai RM505,674.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan berkata, tiga suspek berusia antara 22 hingga 25 tahun itu ditahan secara berasingan semalam di kawasan Bayan Lepas dan George Town dekat sini.

“Tiga suspek ini ditahan kerana telah melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan produk syarikat iaitu sebanyak 28,093 botol vape yang bernilai RM505,674.

”Kegiatan pecah amanah ini dilakukan menerusi transaksi akaun bank persendirian,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut sedang giat dijalankan dan kes disiasat menurut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, kenyataan tersebut menambah, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun dan seorang lelaki berumur 30 tahun semalam kerana dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.

Katanya, sindiket penipuan itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM61,946.

“Berdasarkan siasatan mereka disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket penipuan dalam urusan tawaran kerja sambilan melalui laman jualan Zalora dan urusan jual beli pakaian yang diiklankan melalui Facebook,” katanya.

Tambah kenyataan itu, suspek ditahan secara berasingan di Jelutong dan Bayan Lepas.

”Siasatan polis mendapati suspek-suspek itu terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan tahun lalu dan tahun ini. Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah RM7,234 sehingga RM61,946.

“Mereka kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, polis menasihatkan orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di Aplikasi Google Store Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.