20,000 pelarian dalam proses penempatan semula – UNHCR

20,000 pelarian dalam proses penempatan semula – UNHCR

Sebahagian daripada pelarian yang menetap di Malaysia beratur untuk berurusan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Petaling, Kuala Lumpur. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah lebih 94,800 daripada 183,790 orang pelarian yang direkodkan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berada di Malaysia ke negara ketiga dalam tempoh 15 tahun sejak 2008 hingga kini.

Penempatan itu melibatkan semua pelarian yang datang dari kira-kira 50 buah termasuk dari Myanmar.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, jurucakap UNHCR di Malaysia berkata, pada tahun lalu sahaja, lebih 10,000 orang pelarian dikemukakan untuk penempatan semula ke negara ketiga membabitkan 10 negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan Jepun.

Menurut beliau, pada waktu ini, lebih 20,000 pelarian sedang terlibat dalam salah satu frasa dalam pemprosesan untuk penempatan semula.

“Kita jangkakan, lebih 10,000 orang pelarian lagi akan dikemukakan untuk penempatan semula ke negara ketiga tahun ini.

“Namun kita perlu faham penempatan semula bukan satu hak automatik buat setiap orang pelarian,” katanya di sini semalam.

Menjelaskan lanjut, kata jurucakap itu, berdasar rekod, kurang satu peratus orang pela­rian akan mendapat tempat di negara ketiga setiap tahun.

Kata beliau, penempatan semula juga bergantung kepada tempat yang ditawar oleh negara ketiga dan keputusan berkaitan penempatan semula terletak di tangan negara ketiga tersebut.

“Memandangkan tempat untuk penempatan semula amat terhad di seluruh dunia, ke­utamaan diberi buat pelarian paling rentan dan mereka yang memerlukan perlindungan secara terdesak.

“Selalunya kombinasi faktor-faktor ini yang menentukan sama ada seseorang itu diterima untuk penempatan semula,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurucakap itu berkata, keadaan tidak pasti di masa hadapan orang pela­rian dilihat telah memberi kesan dengan menjejaskan kesihatan mental dan fizikal mereka.

“Memandangkan tempat untuk penempatan semula di seluruh dunia amat terhad, UNHCR dengan kuat menggalakkan agar negara tuan rumah memberi tempat suaka sementara di mana orang pelarian boleh hidup dengan selamat dan bermaruah sehingga sehingga suatu waktu di mana mereka boleh pulang secara selamat, atau mencari kehidupan baru di negara ketiga,”jelasnya.

Kata jurucakap itu, kos melindungi dan menjaga orang pelarian di negara ini sebahagian besarnya adalah ditanggung oleh komuniti orang pelarian sendiri.

Ini kerana, kata beliau, pela­rian ini tidak mempunyai status sah di Malaysia dan menyebabkan mereka tidak mempunyai akses kepada pekerjaan sah atau cara-cara sah untuk menampung kehidupan.

“Namun begitu, meskipun berada dalam keadaan yang mencabar ini, orang pelarian sebahagian besarnya akan menguruskan sendiri keperluan-ke­perluan asas mereka termasuk keperluan kesihatan, pendidikan, dan penginapan keluarga mereka.

“Selalunya, ia menerusi per­kiraan kebajikan sosial yang dibuat oleh komuniti sendiri selain UNHCR, negara penderma, pihak swasta, masyarakat sivil, dan penderma individu lain turut memberi bantuan dana dan barangan agar orang pelarian mampu menolong diri sendiri.

“Pelarian di negara ini juga tidak mendapat mana-mana peruntukan kerajaan buat kebajikan dan lain-lain khidmat yang dikhaskan buat golongan-golo­ngan rentan di Malaysia,” katanya.

Utusan Malaysia semalam mendedahkan, dianggarkan hampir 200,000 pelarian perang dan pemohon suaka politik yang berada di negara ini sedang membina kehidupan selesa dengan mengukuhkan identiti dan penempatan komuniti masing-masing.

Semua pelarian  dan pemohon suaka dipercayai datang dari  kira-kira 50 buah negara dan jika Malaysia tidak menguruskan kelompok itu dengan sistematik, kumpulan tersebut boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Ini kerana kelompok dari pelbagai negara itu  semakin berkembang kerana  mereka beranak-pinak dan sebahagiannya menjangkau generasi ke generasi.

Lapor akhbar ini lagi, perkembangan kalangan pelarian dan pemohon suaka itu menjadi cacamarba apabila ramai dalam komuniti itu  sudah ‘beranak-pinak’ sehingga menjangkau kepada beberapa generasi.

Selain ancaman keselamatan, sumber itu berkata, pelarian dan pemohon suaka juga menguasai ekonomi setempat sehingga ada dalam kalangan mereka sudah menjadi ‘tauke’ dengan membuka kedai runcit, gerai tepi jalan dan berniaga di pasar.

Mengikut data terbaharu UNHCR,  Malaysia merekodkan kira-kira 183,790 pelarian dan pemohon suaka dari 50 negara sehingga akhir Januari lalu.

Sepanjang tempoh itu juga, pelarian dari Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi yang berdaftar dengan UNHCR di negara ini iaitu 158,870 orang.

Kesemua mereka terdiri daripada pelbagai etnik iaitu  106,500 melibatkan etnik Rohingya, Chins (23,450 orang) manakala 28,920 orang lagi membabitkan  kumpulan etnik lain dari kawasan yang dilanda konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan di negara masing-masing.

Berdasarkan rekod sama, seramai 6,940 warga Pakistan turut berada di negara ini sebagai pemohon suaka selain warga Afghanistan (3,370 orang); Yaman (3,020 orang); Somalia (2,810 orang) selain masing-masing 1,500 orang adalah warga Syria dan Iraq.

Turut direkodkan iaitu 750 warga Sri Lanka dan lain-lain negara direkodkan sebagai pemohon suaka di negara ini.

Selain itu, laman rasmi UNHCR di negara ini turut merekodkan 66 peratus pelarian dan pencari suaka adalah lelaki, manakala bakinya 34 peratus adalah wanita.

Selain itu, terdapat kira-kira 48,160 pelarian kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ketika ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN